3 minggu yang lepas, aku bersama isteri ada membuat
pemeriksaan berkala terhadap kandungan isteri yang sudah mencecah 12 minggu. Di
Hospital Pusrawi Kota Damansara, oleh doktor Zul (yang membidankan Hanzalah
juga). Alhamdulillah, kandungan sihat. Dan gambar di atas hasil dari ‘scan’,
(sudah ada bentuk tangan, kepala, badan, kaki, jambul?). Dan kami juga
diperdengarkan degupan jantungnya. Sudah semestinya, sebagai ‘first-time parent’,
kami sungguh teruja. Aku cukup mengagumi kebesaran Yang Maha Esa, yang
menciptanya dari hanya segumpal darah sahaja.
Masyallah.
Lalu aku dengan’ naifnya’ bertanyakan jantinanya. Doktor Zul
kata tunggu lagi 2 bulan. Aku dan isteri sudah berkira-kira untuk member nama
Khawarizmi (jika lelaki), atau Irdina (jika girl). Mengapa nama sedemikian?
Al-Khawarizmi adalah cendekiwan islam yang terulung dalam
bidang matematik. Beliau mencipta Al-gebra, yang kemudiannya digunakan sarjana-sarjana
barat sebagai ‘bahasa matematik yang paling asas’. Sebagai tutor Add Math, bagiku al-gebra adalah idea yang sungguh elegan, ringkas dan genius. Aku seringkali
menduga kemahiran matematik anak muridku dengan al-gebra. Harapan kami, supaya
anak ini bukan hanya bijak dalam ilmu, malah inovatif dan menjadi pelopor dalam
bidangnya sendiri nanti. Amin.
Irdina bermaksud “Kehormatan
kami, kebajikan/keberkatan”. Tapi bukan kerana itu saja, Irdina
adalah mengenai arwah pelajarku. Sila baca kisahnya di sini. Aku mengagumi
ketabahannya, serta kebijaksanaannya, dan juga bakat kreatifnya. Sering
berkongsi cerita denganku, tapi tak pernah mengeluh. Semoga dia ditempatkan di
kalangan orang-orang yang beriman. Al-fatihah.
Tapi perlukah aku letakkan ‘Zulia’ di belakang nama-nama
tersebut. Isteriku tidak berapa berkenan sebab tak sedap katanya hehe.
Tengoklah nanti. Pendapat anda?