Selasa, 5 Jun 2012

Terimakasih Ayoh - Part 1


Pada hari Jumaat 25 Mei lepas, atuk ku sebelah bapa (ayoh), telah menghembuskan nafas terakhir tepat pukul 1 tengahari, setelah hampir 2 jam menghadapi serangan jantung mengejut di Pasir Mas, Kelantan. Dia berumur 79 tahun.

Aku yang ketika itu berada di Subang bergegas pulang bersama abahku menaiki Air Asia (harga tiket mencecah RM437 seorang sehala) dan kami sampai pada pukul 5 petang.

Alhamdulillah, kami sempat memandikan jenazah (bersama abah, cik man, uncle wan, uncle rosli, anak2 mok ho) selepas maghrib. Dan mengebumikannya selepas isyak- mengangkat keranda, masuk liang lahat (bersama Uda) dan menimbus tanah beramai2, bersama sepupuku Azli.


30 tahun lalu

Aku dilahir dan dibesarkan di Pasir Mas, sebelum berpindah ke KL pada usia 6 tahun. Jadi, sudah tentulah banyak kenangan bersama Ayoh. Beliau seorang pemandu teksi yang sangat berdedikasi dan berpengalaman, serta cekap memandu laju. Kereta kegemarannya adalah Mercedes.

teksinya

Ayoh gemar bercerita ketika membesarkan abahku (anaknya sulung), dia berulang-alik setiap hari Kota Bharu - KL - dan pulang ke Kota Bharu dalam masa 24 jam. Sekali jalan, dapatlah RM50 (kalau tak silap la). Ketika itu masih tiada lebuhraya Karak, dan perkhidmatan bas masih belum ada. Jadi satu perjalanan boleh mengambil masa sehingga 12 jam.

Begitulah pengorbanan ayoh dalam membesarkan keluarganya.

Sedikit sebanyak 'gen memandu' itu ada padaku, aku juga gemar memandu lama dan tiada tujuan.

Bukan itu sahaja, ayah juga berkebolehan bermain alat muzik. Pernah menyertai band ghazal ketika muda, dan beliau bermain violin dan akordian.

Mak aku ada berkata, ketika aku berusia 4/5 tahun, ayoh pernah memukulku kerana nakal selalu mengusik adik. Tapi aku 'membalasnya' kembali dengan memukulnya kembali. Haha teruknya aku ini. Maafkan Nal, ayoh.

Ketika itu juga, ayoh gemar membawa kami ke lapangan terbang (untuk menjemput) dan kami beramai2 lepak di tepi pagar melihat kapal terbang. Aku ketika itu sangat jakun melihatnya.

Ayoh juga pernah mengajar ibuku memandu. Selaku pemandu berpengalaman, ayoh selalu memberi tips yang berguna untuk abahku, dan abahku pula yang menurunkan kepadaku. Diantara tips2nya ;
- kalau hujan, potong 50% halaju biasa
- bawa laju ok, tapi jangan sampai hati 'berdebar2'. pastikan kita dalam keadaan tenang.
- kalau memotong juga sama, kalau tidak yakin, jangan potong
- pemanduan yang bagus adalah apabila 'penumpang' boleh terlena dalam kereta

bersambung....


Kemaskini (dari ibuku)
"Pertama kali dapat lesen kereta,  belajar memandu dengan ayoh dari Pasir Mas ke Kota Bharu ,lepas tu ke Macang dan Kuala Krai, pastu balik dari Kuala Krai pusing balik ke Rantau Panjang lepas tu Tanah Merah. Habiskan hari cuti memandu pusing Kelantan dengan Kak Ji dan Nal tertidur-tidur di belakang".

Setiap hari semasa kerja di Kota Bharu, hari-hari jadi penumpang tetap (teksi ayoh). Sudahlah percuma, setiap hari sarapan pun percuma, di kedai roti canai dibelanja penumpang lain gilir-gilir. Mak tak pernah belanja (the only female tu). Sampailah pandu kereta sendiri. 

Masa tu dah duduk quaters Pasir Mas, kadang-kadang petang ayoh datang basuh kereta ke di rumah kita.

Ayoh memang sangat penyabar."