Rabu, 29 Oktober 2014

Penjualan Pulau Ilmu : Penghabisan Yang Sadis

Saya membeli separuh saham bahagian menengah Pusat Tuisyen Pulau Ilmu daripada cikgu Azizul, atau kira-kira 1/4 daripada keseluruhan saham pada awal tahun 2012.

Kami berjaya menjual keseluruhan saham Pulau Ilmu pada 28 Oktober baru-baru ini.

Agak lega kami rasakan. Saya sempat 'merasa'nya hampir 3 tahun.

Untuk pengetahuan anda, cikgu Azizul menubuhkan pusat tuisyen ini pada tahun 2006 lagi.

Saya akui, saya berasa amat sedih, bukan dengan penjualannya, tapi beberapa faktor yang akan saya ceritakan di bawah ini.


i - pemergian bekas kerani kami, Cik Wan (bukan nama sebenarnya) ke rahmatullah.


Al-fatihah.

Arwah Cik Wan telah bekerja dengan Pulau Ilmu dari tahun 2007 lagi, sehinggalah diberhentikan pada bulan April tahun ini (2014), dan meninggal dunia pada bulan September tahun yang sama.

7 tahun arwah bersama kami, dan ia bukanlah masa yang sekejap. Sikapnya yang menyenangkan, peramah, ceria serta baik hati berjaya menarik ramai pelajar dan ibu bapa untuk terus bersama kami. Arwah adalah nadi kemajuan Pulau Ilmu dari segi pengurusan PR, dan dia telah beraksi cemerlang.

Tapi sejak saya mengambil alih pengurusan akaun sejak 3 tahun lepas, saya telah melakukan kesilapan kerana tidak memeriksa tunai dengan buku resit, sepertimana cikgu Azizul lakukan sebelum ini.

Ini memberi ruang kepada arwah mengambil 'sedikit demi sedikit' pendapatan pusat tuisyen ini. 

Apabila kami berjaya mengumpul bukti resit tidak 'tally' dengan tunai, kami bertiga, saya, cikgu Zul dan Kak Rohana ke rumah untuk mempersoalkan ini kepadanya.

Kami 'memecat'nya serta merta juga malam ini.

Dan kami sungguh terkejut mendapat tahu kematiannya 4 bulan selepas itu. Kerana sesak nafas (serangan jantung mungkin), dan yang lebih sadis, kerana menghadapi 'kemurungan', kemungkinan disebab dibuang kerja tempohari.

*maaf jika saya membuka aib arwah, saya tidak dapat menahan diri daripada menceritakan perkara sebenar, kerana ia ada sesuatu yang boleh kita pelajari di sini.

Tapi di jauh di sudut hati saya, saya berasa kasihan kepadanya, yang hanya menerima gaji RM1,000 sebulan dan menanggung anak sendiri yang telah meningkat remaja, dan beberapa anak angkat yang masih kecil. Manalah cukupkan. Mungkin itu yang mendorongnya, wallahukahlam.

Dan saya secara peribadi 'menghalalkan' dan 'memaafkan'nya, walaupun memberi kesan kepada pusat tuisyen ini untuk jangka masa panjang.

Ini pengakhiran yang sedih. Tapi saya tidak mahu ingat yang itu. Saya mahu mengingatinya sebagai seorang yang ceria dan baik hati, dan banyak membantu perkembangan Pulau Ilmu.



ii) Bilangan pelajar menengah yang merundum


Secara tidak langsung, setelah ketiadaan arwah sejak April lepas, nasib sesi menengah terus merundum. Antara sebab utama yang lain adalah kerana ketiadaan PMR, diganti dengan PT3/PBS.

Ini menyebabkan pelajar tidak 'segentar' menghadapi PMR.

Satu-satu kelas diberhentikan. Mula-mula cikgu Haizam, cikgu Firaus, cikgu Hafizul, dan cikgu Azizul sendiri.

Ini sangat mengejutkan kerana buat pertama kali cikgu Azizul selaku pengasas tiada kelas sendiri di sini.

Yang tinggal? Hanya kelas Add Math Tingkatan 5 saya.

7 orang kesemuanya. Hampir kesemuanya pelajar cemerlang. Ini 'batch' saya yang paling cemerlang setakat ini. Hampir kesemua mendapat A untuk Add Math Percubaan SPM baru-baru ini.

Juga saya berasa sangat terharu dengan kesetiaanya mereka ini, dan sangat sedih kerana akan berpisah kelak.

Semalam merupakan kelas terakhir. Tapi saya 'berbohong sunat' dengan mengatakan ada kelas lagi bulan November, beberapa hari sebelum kertas AddMath SPM mereka. Ini kerana bulan November Pulau Ilmu bukan lagi milik kami.


Kerana saya tidak suka mengucapkan selamat tinggal.

Kelas Terakahir (Menengah) Pulau Ilmu 2014 (satu-satunya kelas menengah). Belakang dari kiri : Nana, Tulai, Haley, Mimi, Lili, Depan : Faiz dan Brandon (maaf nama saya cipta sendiri sebab nak ingat/mesra konon. maaf juga gambar tidak sempurna kerana tangan menggeletar ketika mengambil gambar cara Panorama)


Mengapa saya sentimental?

Entahlah, kerana kisah sedih, manis bergabung menjadi satu.

Selamat tinggal Pulau Ilmu.