Sabtu, 15 September 2012

11 - Demo 2 Minit (Siri 2)

Saya teringatkan pertemuan saya dengan Aidit Alfian. Beliau berkata, pada hari yang baik, beliau boleh mencipta sehingga 13 buah lagu, dan pada hari yang biasa, 5 buah lagu. Kata beliau lagi, M Nasir akan tekan 'record' di studionya, dan beliau kan menyanyi dan bermain gitar, selama 2 jam tanpa henti.

Bagi semua keluar. Hah begitulah para artis otai tempatan mencari ilham.

Saya akui, saya tidak berbuat begitu, saya 'menanti ilham' terbaik untuk dirakam, apabila sampai seru sahaja. Menurut Aidit, dia pernah terdengar juga sesetengah komposer mencipta lagu dengan cara sebegini. Cara ini tiada masalah, cuma, saya mengambil masa terlalu lama untuk menyusun lagu. Kadang-kadang sehingga seminggu untuk menyusun satu lagu sahaja.

Sehinggakan saya tidak 'mencipta' lagu baru dalam tempoh tersebut. Produksi menjadi lambat, walau sekadar demo.

Bagaimana saya boleh mengatasinya?


Saya hanya mahu buat demo separuh lagu, atau saya panggil Demo 2 Minit.

Tujuan :

  1. supaya saya tidak perlu 'memerah otak' untuk menyusun lagu. Jika ada orang mahu produksi, barulah saya fikirkan, atau saya upah saja arenjer lain untuk menyusun lagu saya.
  2. saya boleh fokus seratus peratus kepada penciptaan lagu. Inilah kekuatan saya yang sebenar. Dan jumlah produksi saya akan bertambah di masa depan.
  3. menyediakan lebih banyak pilihan kepada klien saya. Buat masa ini, saya bercadang untuk menyiapkan satu demo 2 minit dalamasa 2 minggu.
  4. saya mahu menjadi lebih produktif, dan menghargai ilham yang Tuhan berikan. Kerana seringkali juga, saya mendapat 'ilham rawak', tapi tidak saya pedulikan, kerana fikir 'banyak lagi lagu lain yang harus disiapkan'.
Insyallah, saya akan mulakan dengan karya seterusnya. Saya merasakan beban saya semakin kurang, dan fokus untuk berjaya semakin tajam. Terimakasih kepada yang memberi sokongan.

Jumaat, 14 September 2012

10 - Demo 2 Minit

Sayada terbaca di laman web skinnyartist.com, Mozart mencipta lebih 600 buah lagu, tapi hanya 40 saja yang diingati. Ini bersamaan dengan hanya 7% karyanya yang 'berjaya' di mata awam. Ini sangat mengejutkan, kerana kebanyakkan orang melihatnya sebagai genius, atau 'child prodigy', dimana beliau dilahirkan berbakat dan tidak perlu bekerja keras untuk menempa nama. 

Tapi sebaliknya berlaku.

93% karyanya tidak dikenali, membuktikan beliau tidak bersandar pada bakat semata. Beliau berusaha keras, menghasilkan sebarang idea, tanpa prejudis.

Jadi apa yang boleh kita belajar dari sini?


Terbukti, untuk jangkamasa panjang, kuantiti lebih penting dari kualiti. Saya bukanlah menidakkan kualiti, malah saya berasa  ia harus seimbang dengan kuantiti.

Cuma, jika kita terlalu mementingkan kualiti, kita menjadi 'judgemental', serta takut berkarya di masa depan. Jadi, soalannya, bagaimana untuk mengimbangi diantara kedua-duanya?

Dalam buku Jim Collins, Great By Choice, syarikat hebat, umpama kapal perang akan membuat tembakan halus dahulu pada kapal musuh, dan jika kena pada 'lubuk' yang betul, barulah mereka menggunakan meriam untuk mengebom lubuk tersebut.

Ini bermakna, mereka sendiri tidak tahu produk mana yang berkesan, dan mereka akan menguji secara kecil-kecilan terlebih dahulu di pasaran. Setelah ada bukti produk itu berkesan, barulah mereka mengeluarkan dan memasarkan produk tersebut besar-besaran.

Sepertimana yang berlaku pada Apple.


Ipod, pada mulanya direka untuk pekerjanya sendiri sebagai 'walkman', dan hanyalah 'extension' kepada komputer utama mereka, iMac.

Tapi mereka sendiri tidak jangka ia mendapat sambutan tidak hanya kepada pengguna iMac, tapi juga kepada pengguna Windows. Sehingga mereka berevolusi dengan mewujudkan iTunes, dan mengubah landskap muzik dan filem dunia secara amnya.

Bagaimana Sajakiri boleh aplikasi?


Kami bercadang untuk membuat demo 2 minit, setiap 2 minggu. Ini agak mencabar kerana saya seorang yang 'perfectionist'. Sebelum ini 1 demo, hanya siap dalamasa sebulan. Kami masih mementingkan kualiti, tapi kami akan buat prototaip terlebih dahulu.



Khamis, 13 September 2012

9 - 10 Tahun Lagi

Apa yang saya mahu capai 10 tahun lagi? Baru-baru ini saya ke Paka, Terengganu untuk melawat mak saudara dan nenek saya, dan kami ada singgah di beberapa perhentian di pantai untuk lepak.

Saya memang sukakan pantai di sebelah timur semenanjug, kerana anginnya yang kuat bertiup, rasa sungguh tenang sekali.Di samping itu, bandar di Paka juga sungguh rileks, tidak berserabut seperti di Kuala Lumpur.

Ini mengilhami saya, lalu bertanya pada isteri saya,
"nak tak pindah ke kawasan kampung sebegini?"
Saya akui, sejak kelahiran Sofea, saya semakin suka ringkas dan minimalistik. Lihat saya desain laman ini, serta sajakiri.com, hanya putih jernih sahaja.. Atau mungkin kerana selepas saya menggunakan Iphone, desainnya yang putih dan ringkas, menyahserabutkan minda saya.

Saya ingin menjadi komposer sepenuh masa, tutor separuh masa. Saya inginkan hidup yang minimal tanggungan (overhead), dan tidak berlebihan.

Saya cuma ingin berkarya muzik, mengajar matematik, dan menghabiskan masa bersama keluarga. Ini saja pun sudah cukup buat saya rasa bahagia.

Kebebasan Kewangan


Ini adalah impian saya 10 tahun lagi. Kebebasan kewangan di sini bermaksud,  pendapatan pasif melebihi perbelanjaan hidup. Bermaksud, tidak perlu bekerja sudah boleh hidup.Buat kerja pun, kerana minat dan displin yang sudah dipupuk, atas dasar ingin menyumbang kepada masyarakat.

Caranya :

  • mencari sumber pendapatan pasif sebanyak mungkin: dalam bentuk royalti, bisnes, atau rumah disewa.
  • kurangkan perbelanjaan harian. Minimalistik.
Saya ingin berpindah ke pantai, satu hari nanti. Amin.




Rabu, 12 September 2012

8 - Apa yang ingin saya pelajari daripada mentor?

Insyallah, saya akan berjumpa dengan mentor saya. Mereka mestilah seorang komposer/produser muzik yang berpengalaman. Contoh ; Aidit Alfian, Taja (MUH), Ajai, M Nasir, dan lain-lain. Soalan-soalan saya adalah;


1. Bagaimana struktur pendapatan (income structure) jika menjadi komposer/produser sepenuh masa? 


Saya tahu ada 2 pendapatan utama, sebagai produser adalah daripada produksi muzik. Sebagai komposer, daripada royalti MACP. Soalan saya lagi:
  • berapa peratuskah pembahagian kedua-dua pendapatan tersebut?
  • yang mana kita harus lebih beri perhatian?
  • bolehkah kita mencapai 'kebebasan kewangan', dimana pendapatan pasif daripada royalti, melebihi perbelanjaan harian?


2. Bagaimana mencari klien?


Apa yang saya faham, lebih banyak lagu kita meletup di pasaran, lebih ramai penyanyi akan mencari komposer berkenaan. Soalan saya;

  • bagaimana mereka bermula?
  • bagaimana komposer memikat mereka?
  • bagaimana cara komposer mempendengarkan demo?


3. Apakah displin para komposer?


Saya difahamkan oleh abang Aidit, beliau mencipta lagu antara 5 - 13 buah lagu sehari dan M Nasir akan menekan butang 'record' dan mencipta lagu dengan menyanyi dan bermain gitar selama 2 jam berterusan. Soalan saya :
  • bagaimana mereka mencari inspirasi?
  • adakah mereka rakam terus semua idea? 
  • bagaimana mereka mengenal pasti idea yang baik?


4. Bagaimana mereka menerbitkan lagu mereka sendiri.


Abang Aidit, sebagai contoh, mempunyai pasukannya sendiri ; ALfa Booty (arenjer), Nan (gitaris), Kelly (bassis), Ujang (pemain dram), dan akan merakam di Kings Studio. Soalan saya;
  • adakah mereka menyusun sendiri lagu ciptaan?
  • bagaimana mereka memilih pasukannya sendiri?
  • adakah mereka punyai studio sendiri, atau sewa studio lain?


5. Siapakah mentor mereka? Bagaimana mereka mengasah bakat dalam penciptaan lagu?



6. Ada apa-apa lagi yang patut saya tahu tentang bisnes penerbitan muzik ini?


 Contoh seperti 'tips, 'trick, atau 'backdoor infromation' yang patut saya ketahui?


Inilah saja soalan yang dirancang. Insyallah, ramai komposer di Malaysia yang akan saya temuramah. Ini untuk tujuan pembelajaran. Dan saya akan kongsikan di sajakiri.com .

Isnin, 10 September 2012

7 - Klien Seumur Hidup

Saya mencari klien untuk jangkamasa panjang, bukan untuk satu-dua projek sahaja. Saya sanggup menerima  risiko sedikit kerugian untuk jangkamasa pendek sebagai penapis, asalkan saya berjaya mencari klien yang mempunyai integriti, kredibiliti dan komitmen yang tinggi.

Hanya golongan ini yang layak bekerjasama dengan Sajakiri Music.

Bagaimana?


Katakanlah satu projek bernilai RM4,000. Saya akan memberi tawaran selama seminggu untuk difikirkan, iaitu kemudahan ansuran bulanan. Deposit RM1,000 (penapis pertama), dan bakinya dibayar  bulanan RM250 x 12 bulan.

Dan tawaran ini hanya untuk karya Sajakiri sahaja, sebagai inisitaif. Bermaksud jika klien mempunyai lagu ciptaan sendiri, kemudahan ini tidak ditawarkan.

Semestinya, saya mengharapkan klien akan mematuhi kontrak, dan membayar sepertimana yang dijanjikan. Jika berjaya, ini golongan yang cari.

Kesan jika terkandas


Tapi jjika terkandas, katakan mereka hanya membayar untuk 5 bulan sahaja, dan berhenti membayar, 5 perkara yang akan terkesan :

  1. saya menanggung kerugian untuk 7 bulan berikutnya
  2. klien tidak mendapat karma yang baik, kerana mereka menyanyikan karya saya tanpa restu
  3. segala produksi mereka, saya boleh 'pakai balik'
  4. mereka tidak akan dipercayai lagi oleh pihak kami
  5. segala bayaran mereka semestinya tidak akan dikembalikan, kerana masa studio dan pemuzik sudah dibayar.
Nauzubillah, saya secara peribadi mengharapkan perkara ini tidak akan berlaku. Kerana kedua-dua pihak dalam kerugian. Saya sekadar ingin mengimbangi risiko kerugian saya, jika ini berlaku. Segalanya boleh dirunding, jika klien mengalami kesulitan untuk membayar.

Hasilnya


Saya percaya, untuk jangkamasa panjang, saya akan dapat mencari klien yang berkualiti yang saya dambakan, kualiti seperti integiri, kredibiliti dan komitmen tinggi, insyallah. 

Ahad, 9 September 2012

6 - Pemasaran dan Jenama Sajakiri.com

Setiap Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad, saya akan memasarkan pautan dari laman sajakiri.com ke FB Page kelolaan saya, dan FB Group yang berkenaan. Tapi setelah berbuat sedemikian, saya mula tertanya-tanya kembali, adakah ia berbaloi?

Adalah sedikit sebanyak kunjungan ke laman itu. Kunjungan 70 ke atas adalah sangat baik, tapi biasanya kunjungan adalah diantara 20-30 sehari.


Tujuan


Sebelum ini, saya hanyalah ingin memperkenalkan jenama Sajakiri. Dan hasil temuramah saya bersama beberapa tokoh muzik tempatan, seperti Zulkif Headwind, dan Karl Cromok, laman Sajakiri berjaya meraih perhatian.


Jadual


Kini, tujuan saya sudah berubah ; saya ingin meraih pendapatan daripada servis produksi muzik saya.

Sebelum:

                            Selasa             Khamis             Sabtu            Ahad
Minggu 1 :           Artikel 1          Artikel 2           Artikel 1       Artikel 2.
Minggu 2 :           Arikel 3           Muzik 1            Artikel 3      Muzik 1


Kini:


                            Selasa             Khamis             Sabtu            Ahad
Minggu 1 :           Artikel 1          Muzik 1            Artikel 1       Muzik 1.
Minggu 2 :           Arikel  2           Muzik 2            Artikel 2      Muzik 2


Lihat bagaimana entri mengenai karya muzik Sajakiri telah meningkat.

Buat permulaan, saya ingin meraih sekurang-kurangnya SATU projek setiap bulan. Cara lain untuk beriklan adalah:-

  • FB Ads
  • menganjurkan Pertandingan Sajakiri - Vokal


Tawaran


Untuk menjadikan tawaran saya lebih menarik, saya menawarkan ansuran bulanan untuk klien, dan hanya memberikan mereka tempoh seminggu untuk memikirkannya, sebelum tawaran ansuran ditarik balik. Ini untuk mereka memikirkan masak-masak peluang yang diberikan ini, sambil dapat mengambil keputusan yang jitu.

Ansuran - Apa risikonya pada saya


Tujuan utama saya, adalah untuk mencari klien untuk jangkamasa panjang, bukan sekadar satu dua projek sahaja.

Contoh, jika klien membayar deposit RM1,000(tidak kembalikan), dan membayar hanya 5 ansuran sahaja (sepatutnya 12), memanglah saya akan mengalami sedikit kerugian, tapi apa yang pasti, klien jenis ini TIDAK AKAN saya bekerjasama lagi di masa depan, selagi hutang tidak dibayar sepenuhnya.