Khamis, 13 November 2014

Pergaulan Dengan Persekitaran 1


  • Tingkatan 1C : Kelas Pandai
  • Tingkatan 2J : Kelas Corot
  • Tingkatan 3 Bersih : Kelas Corot
  • Tingkatan 4 Cekap : Kelas Corot
  • Tingkatn 5 Jaya ; Kelas Pandai
Anda boleh lihat di atas, kelas-kelas ketika saya di sekolah menengah.

Ketika di Tingkatan 1C, saya berasa 'sedikit tertekan' kerana sekelas dengan ramai pelajar pandai. Jadi selepas itu, dengan 'sengajanya' (ibubapa tidak bersetuju sebenarnya), saya memilih kelas corot kerana lebih seronok 'hidup tanpa tekanan'.

Mengapa saya tidak selesa sekelas dengan pelajar yang lebih pandai?


Selepas saya menyelidik dari mana datangnya set minda ini, kini saya mengerti ianya datang dari cara saya dibesarkan.

Saya anak nombor  2, dan kakak sulong saya, yang hanya setahun tua dari saya, dilahirkan normal, tapi 'agak lambat pentiumnya' (tapi penyabar).

Jadi saya berasa agak 'superior' berbandingnya, dan kerap membulinya. Dan ketika itu juga tahap kesihatan saya agak lemah kerana asma, jadi ibubapa saya selalu 'tidak sampai hati' memarahi saya dengan kerap.

Ini menjadikan saya lebih kerap membulinya, tanpa ada perasaan takut. Dan kelahiran 2 lagi adik perempuan 4 tahun kemudian, menjadikan saya lebih berasa 'superior' dan membuli mereka semua.

Ini membuatkan set minda saya lebih suka bergaul dengan orang yang lebih 'inferior' dan sehingga kini, jika diberi pilihan, saya akan memilih untuk berada dalam grup ini.

Ini menjelaskan mengapa saya lebih gemar berada dalam kelas corot.

Kelas Corot


Saya akui, ketika di kelas corot, saya berasa lebih seronok, bebas tekanan (tidak perlu buat kerja rumah, kerana cikgu tidak mengharapkan), dan berasa superior kerana sering memperolehi tempat pertama dalam kelas corot ini. Walaupun kedudukan dalam keseluruhan tingkatan adalah ke-200 daripada 400 pelajar.

Ketika di tingkatan 5, saya juga sengaja untuk memasuki kelas pertama (cikgu juga bersetuju kerana berpendapat saya hanya suka main-main dalam kelas corot) demi kerana peperiksaan SPM tahun itu. Seperti jangkaan saya, saya berasa tertekan, tidak selesa, kurang seronok (bayangkan dapat 70 markah juga adalah terendah dalam kelas). 

Tapi pencapaian akademik saya meningkat dengan drastik sekali ; saya menjadi pelajar terbaik dalam AddMath, memperolehi A1 untuk semua subjek elektif Sains, mendapat tempat ke-20 dalam kelas, tapi ke-25 daripada 400 pelajar!

Bayangkan daripada nombor 200 ke 25 , dengan hanya menukar kelas sahaja!

Kolej


Ketika saya di kolej KYPM Cheras, saya bergaul dengan ramai pelajar hebat (daripada Sekolah Berasrama Penuh), yang terdiri daripada 'top-scorer' SPM, yang memperolehi 6-Agreget (Straight-A). Sekali lagi saya berasa 'tidak selesa', inferior dan tercabar. Tapi alhamdulillah, saya memperolehi ACCA dalam masa 4 tahun saja, dimana hanya 10% saja yang berjaya.

Kini


Setelah saya berhenti kerja 10 tahun yang lepas dan menjadi tutor sepenuh masa, saya kembali ke zon  selesa saya, tidak lagi bergaul dengan mereka yang hebat pandai ini. Umpama saya kembali ke kelas corot, saya mungkin 'tutor yang berjaya', tapi dari segi pendapatan dan perkembangan karier, kemajuan saya statik saja.

Berbanding dengan bekas rakan sekolej saya, ada diantara mereka yang berpendapatan 6-7 angka, tinggal di banglo, mewarisi empayar perniagaan, menjadi CEO/CFO dan sebagainya. Dimana saya hanya boleh menaikkan kadar tuisyen saya dari RM40 ke RM60 saja sepanjang 8 tahun lepas.

Kesimpulan


Diberi pilihan, kita akan memilih untuk tidak berasa inferior dengan persekitaran. Tapi demi kemajuan, saya teringatkan pepatah Amerika ini :

"jika anda ingin maju, pastikan anda adalah orang yang paling TIDAK PANDAI dalam bilik".








Rabu, 29 Oktober 2014

Penjualan Pulau Ilmu : Penghabisan Yang Sadis

Saya membeli separuh saham bahagian menengah Pusat Tuisyen Pulau Ilmu daripada cikgu Azizul, atau kira-kira 1/4 daripada keseluruhan saham pada awal tahun 2012.

Kami berjaya menjual keseluruhan saham Pulau Ilmu pada 28 Oktober baru-baru ini.

Agak lega kami rasakan. Saya sempat 'merasa'nya hampir 3 tahun.

Untuk pengetahuan anda, cikgu Azizul menubuhkan pusat tuisyen ini pada tahun 2006 lagi.

Saya akui, saya berasa amat sedih, bukan dengan penjualannya, tapi beberapa faktor yang akan saya ceritakan di bawah ini.


i - pemergian bekas kerani kami, Cik Wan (bukan nama sebenarnya) ke rahmatullah.


Al-fatihah.

Arwah Cik Wan telah bekerja dengan Pulau Ilmu dari tahun 2007 lagi, sehinggalah diberhentikan pada bulan April tahun ini (2014), dan meninggal dunia pada bulan September tahun yang sama.

7 tahun arwah bersama kami, dan ia bukanlah masa yang sekejap. Sikapnya yang menyenangkan, peramah, ceria serta baik hati berjaya menarik ramai pelajar dan ibu bapa untuk terus bersama kami. Arwah adalah nadi kemajuan Pulau Ilmu dari segi pengurusan PR, dan dia telah beraksi cemerlang.

Tapi sejak saya mengambil alih pengurusan akaun sejak 3 tahun lepas, saya telah melakukan kesilapan kerana tidak memeriksa tunai dengan buku resit, sepertimana cikgu Azizul lakukan sebelum ini.

Ini memberi ruang kepada arwah mengambil 'sedikit demi sedikit' pendapatan pusat tuisyen ini. 

Apabila kami berjaya mengumpul bukti resit tidak 'tally' dengan tunai, kami bertiga, saya, cikgu Zul dan Kak Rohana ke rumah untuk mempersoalkan ini kepadanya.

Kami 'memecat'nya serta merta juga malam ini.

Dan kami sungguh terkejut mendapat tahu kematiannya 4 bulan selepas itu. Kerana sesak nafas (serangan jantung mungkin), dan yang lebih sadis, kerana menghadapi 'kemurungan', kemungkinan disebab dibuang kerja tempohari.

*maaf jika saya membuka aib arwah, saya tidak dapat menahan diri daripada menceritakan perkara sebenar, kerana ia ada sesuatu yang boleh kita pelajari di sini.

Tapi di jauh di sudut hati saya, saya berasa kasihan kepadanya, yang hanya menerima gaji RM1,000 sebulan dan menanggung anak sendiri yang telah meningkat remaja, dan beberapa anak angkat yang masih kecil. Manalah cukupkan. Mungkin itu yang mendorongnya, wallahukahlam.

Dan saya secara peribadi 'menghalalkan' dan 'memaafkan'nya, walaupun memberi kesan kepada pusat tuisyen ini untuk jangka masa panjang.

Ini pengakhiran yang sedih. Tapi saya tidak mahu ingat yang itu. Saya mahu mengingatinya sebagai seorang yang ceria dan baik hati, dan banyak membantu perkembangan Pulau Ilmu.



ii) Bilangan pelajar menengah yang merundum


Secara tidak langsung, setelah ketiadaan arwah sejak April lepas, nasib sesi menengah terus merundum. Antara sebab utama yang lain adalah kerana ketiadaan PMR, diganti dengan PT3/PBS.

Ini menyebabkan pelajar tidak 'segentar' menghadapi PMR.

Satu-satu kelas diberhentikan. Mula-mula cikgu Haizam, cikgu Firaus, cikgu Hafizul, dan cikgu Azizul sendiri.

Ini sangat mengejutkan kerana buat pertama kali cikgu Azizul selaku pengasas tiada kelas sendiri di sini.

Yang tinggal? Hanya kelas Add Math Tingkatan 5 saya.

7 orang kesemuanya. Hampir kesemuanya pelajar cemerlang. Ini 'batch' saya yang paling cemerlang setakat ini. Hampir kesemua mendapat A untuk Add Math Percubaan SPM baru-baru ini.

Juga saya berasa sangat terharu dengan kesetiaanya mereka ini, dan sangat sedih kerana akan berpisah kelak.

Semalam merupakan kelas terakhir. Tapi saya 'berbohong sunat' dengan mengatakan ada kelas lagi bulan November, beberapa hari sebelum kertas AddMath SPM mereka. Ini kerana bulan November Pulau Ilmu bukan lagi milik kami.


Kerana saya tidak suka mengucapkan selamat tinggal.

Kelas Terakahir (Menengah) Pulau Ilmu 2014 (satu-satunya kelas menengah). Belakang dari kiri : Nana, Tulai, Haley, Mimi, Lili, Depan : Faiz dan Brandon (maaf nama saya cipta sendiri sebab nak ingat/mesra konon. maaf juga gambar tidak sempurna kerana tangan menggeletar ketika mengambil gambar cara Panorama)


Mengapa saya sentimental?

Entahlah, kerana kisah sedih, manis bergabung menjadi satu.

Selamat tinggal Pulau Ilmu.


Rabu, 17 September 2014

Blog Ujian

Ini entri ujian dari saya. Usah mudah terpedaya. Tiada apa cerita di sini. Saya baru memuat-turun applikasi Blogger ke Ipad Mini saya ini. Hendak tengok adakah saya punyai fil untuk menulis cara begini.

Tiada apa cerita baru dari saya. Sekadar menantikan kelahiran anak kedua saya pada minggu depan. Insyallah, doakan yang baik-baik saja untuk kami.

Entri kali ini juga lain. Selalunya saya tulis di kertas dengan tangan kiri saya, sebelum menaipkan kembali. Ini saya menaip terus. Selalunya cara begini ideanya tidak berpanjangan.

Saya juga sedang berkira-kira untuk menulis dalam Tumblr. Mana yang lebih fil?

Selasa, 17 Jun 2014

Takut Dan Berani Pada Masa Yang Sama

Setelah mendapat kunci dari encik Ghazali, pemilik rumah terdahulu, aku akui ada rasa gerun dan takut menerpa. Biarpun usiaku bukan muda lagi, tapi ini kali pertama aku bersama famili kecilku memiliki rumah sendiri.

Kenapa Aku Berasa Takut?


Kerana aku tidak boleh lagi 'mengundurkan' diri. Aku diumpamakan tidak pandai berenang, tapi dicampak di tengah lautan, tanpa ada kapal induk yang menanti.


Sejarah 'Pengunduran' ku.


Setelah habis SPM, aku ingin berdikari. Tahun Pertama di KYPM Cheras, aku selalu balik rumah pada hari minggu.

Tahun Kedua, aku bersama rakan sekolej menyewa apartment. Tapi lebih kerap ku balik ke rumah ; setiap 2 hari sekali, kerana telah memiliki kereta sendiri pemberian abahku.

Di Dublin, aku hanya sempat tinggal selama setahun setengah saja. Ku bercadang untuk tinggal dan bekerja di situ sekurang-kurangnya 5 tahun, tapi apabila familiku datang menyaksikan graduasiku, aku sekali lagi berasa 'terpanggil' untuk pulang bersama mereka.

Bekerja di KPMG, aku hanya bertahan selama setahun setengah saja, sebelum memilih untuk tinggal secara mewah di rumah sewa abahku (tika ini ibubapaku tinggal berasingan).

Pada usia 30, akhirnya aku tinggal bujang (rakan serumahku Ahmad Fedtri Yahya, pengacara MHI). Tapi hanya bertahan selama 6 bulan saja, sebelum berpindah kembali ke rumah ibuku di USJ.

Setelah berkahwin, aku hanya 'cuci kaki' dan mengambil-alih rumah sewa abahku yang masih lengkap dengan perabot dari rumah terdahulu.


Anda boleh lihat betapa mudahnya aku 'berpatah balik' ke kapal induk.


Tapi sekarang ini aku memiliki famili dan rumah sendiri, mana kapal induk itu?


Aku sendiri yang menjadi kapal induk itu.



Aku sedar, ramai orang yang jauh lebih muda dariku yang telah menjadi 'kapal induk' bukan saja untuk famili mereka sendiri, malah mungkin untuk ibubapa mereka sendiri. Aku di usia begini memang agak terlambat, tapi bagi aku ia tetap menggetarkan jiwaku.


Berani


Tapi di sebalik ini, aku sebenarnya berasa tenang dan yakin. Walaupun kapal indukku ini kecil, tapi ia sebenarnya cukup sebagai tempat perlindungan dan asas kepada familiku.

Asas ini memberikanku kekuatan untuk mengharungi hidup dengan lebih berkeyakinan.

Aku fikir 'aku tidak perlu terlalu takut kepada kegagalan, sekurang-kurangnya aku sudah punyai rumah untuk berlindung'. Jadi aku lebih boleh fokus kepada kemajuan.




Dulu kapal indukku lebih mewah, tapi ia bukan milikku. Kini kapal ku lebih kecil. Tapi ia kepunyaan sendiri.

Beza besar tu.

Selasa, 27 Mei 2014

Bersara Daripada Kerjaya Sebagai Tutor

Saya mula menjadi tutor kira-kira 9 tahun lalu, selepas dicadangkan oleh rakan baik saya, Jaja. Sekitar pertengahan tahun 2005, tugas pertama saya adalah di sekolah Sains Cheras. Sebelum itu saya telah menganggur selama hampir setahun sebagai auditor di KPMG.

Walaupun kerjaya tutor adalah kerjaya saya yang paling lama bertahan, tapi saya sebenarnya sering melihatnya sebagai 'kerjaya sementara'. Sangat ironi.

Malah saya berhajat mahu 'berhenti' secara berperingkat dalam masa 3-5 tahun ini. Mengapa ya?


  1. Saya berkebolehan mengajar, tapi ia bukan bidang terbaik saya

    Saya akui ini sukar ditelan pada mulanya. Tapi banyak pengalaman dan bukti selama saya mengajar. Saya sukakan mata pelajaran Add Math, tetapi saya sedar saya tidak dapat menandingi rakan tutor saya seperti cikgu Azizul dan Hafizul (hai bro!). Kelas tuisyen mereka selalu penuh. Kelas saya hanya separuh penuh berbanding kelas mereka.

    Jika kelas one-to-one, saya OK. Tapi jika kelas besar atau seminar, sukar untuk saya menarik perhatian majoriti pelajar untuk jangka-masa panjang.

    Hanya mereka yang minat dan bijak dalam Add Math saja yang akan bertahan, dimana mereka adalah minoriti dalam kelas saya.
  2. Pendapatan adalah terhad.

    Oleh kerana sebab di atas juga, saya tidak mempunyai keinginan besar untuk menganjurkan seminar, atau kelas besar. Ini membataskan peluang pendapatan saya.

    Cukup bagi saya sekadar sesuap nasi saja, bukan untuk menjadi kaya-raya.
  3. Saya ingin menceburi bidang 'Kewangan Peribadi'

    Saya secara seriusnya ingin menceburi bidang 'kewangan perbadi'. Saya baru saja enrol untuk kursus Registered Financial Planner (RFP) anjuran Malaysian Financial Planning Council (MFPC). Ini membolehkan saya mempunyai lesen sah untuk terikat dengan syarikat VKA, untuk menjadi 'Independent Financial Planner'.

    Subjek kursus RFP

    Mengapa menyertai bidang ini :
    i) mempunyai minat yang mendalam,
    ii) mempunyai kaitan dengan kelayakkan saya (ACCA),
    iii) berpeluang bertemu dengan mereka yang lebih berjaya,
    iv) ada impian untuk membuka sekolah kewangan,
    v) pontesi pendapatannya tiada siling, jika benar-benar rajin.
  4. Saya ingin membina syarikat produksi muzik sendiri (Sajakiri Music).

    Ini semestinya memerlukan sedikit-sebanyak modal, dimana sukar saya perolehi jika bekerja sebagai tutor sepenuh masa saja.
Doakan saya. Amin.

Ahad, 27 April 2014

Apa Motivasi Saya?


Carta diatas menunjukkan di mana motivasi saya paling efektif. Hasil ujian profil diri saya ini didapati dari laman www.Talentoday.com. Saya syorkan agar anda mencuba sendiri untuk mengenali diri anda dari pespektif lain. Kerana saya sendiri agak 'terkejut' dengan keputusan ini.

Selama ini saya menyangkakan motivasi saya sama seperti kebanyakkan orang lain ; duit, harta, pengiktirafan sosial dan sebagainya. Tapi rupanya saya tersilap besar. Motivasi sebenar saya adalah :

Philanthropy ; bermaksud melakukan kerja amal seperti bantuan kemanusian, menderma, iaitu kerja membantu orang lain yang memerlukan tanpa mengharapkan balasan.

Saya awalnya tidak merasakan ia keputusan tepat : saya tidak pernah terlibat dalam bantuan kemanusian seperti membantu mangsa banjir / gempa bumi, jarang sekali menderma kepada yang memerlukan, tidak mempedulikan peminta sedekah, tidak pernah terlibat dalam gotong-royong kawasan kejiranan sekalipun.

Mungkin ujian ini silap.

Tapi tiba-tiba saya terfikir : SAYA SUDAH MENJADI GURU TUISYEN SELAMA 8 TAHUN!

8 tahun adalah lama jika anda fikirkan dari sudut 'kerja separuh masa'. Saya sudah jadikan iainya satu profesion ; di sinilah mata pencarian utama saya. Saya juga mempunyai pusat tuisyen sendiri, dimana keuntungan bukanlah fokus utama kami, yang penting kami memberikan servis terbaik untuk pelajar.

Anda mungkin terfikir ; takkan jadi guru tuisyen sudah boleh digelar Philanthropist? 

Mungkin. Tapi jika fikirkan dari mana saya berasal : dari dunia korporat. Saya mempunyai kelayakkan profesional akauntan ACCA (dianggap prestij dalam dunia korporat), belajar di luar negara (Dublin Business College), bekerja di firma audit terbesar di dunia (KPMG) serta ayah saya yang mempunyai banyak rangkaian dalam dunia korporat.

Tapi apa yang saya pilih : jadi guru tuisyen je?

Saya bukan mahu bermegah (anda boleh lihat di carta ; Social Recognition saya sangat rendah , iaitu saya tidak berminat untuk mendapat pengiktirafan sosial), tapi sekadar mahu berkongsi pada anda ( yang saya sangat terkejut dengan) apa yang memotivasikan saya. Saya berharap anda menemuinya juga.

Ini juga menerangkan mengapa sukar saya melakukan bisnes yang hanya fokus kepada keuntungan semata. Juga saya mengerti mengapa sukar untuk saya mengikuti ramai kawan sekolej saya yang kini sudahpun menjadi CEO dan CFO, mempunyai gaji paling kurang gaji menteri (lebih RM20,000 sebulan).

Saya pernah juga memasang impian untuk menjadi sebegitu ; menjadi kaya raya, kereta mewah, syarikat hebat serta studio muzik bawah tanah.

Tapi saya hairan mengapa ia tidak berjaya memotivasikan saya untuk jangka masa panjang.

Tapi usah khuatir, saya masih mempunyai impian besar ; membuka sekolah kewangan, untuk membimbing dan menyedarkan masyarakat tentang pentingnya pengurusan kewangan peribadi (celik kewangan).

Amin. Moga dipermudahkan.

http://talentoday.com/

Selasa, 1 April 2014

Alhamdulillah : April 2014



Jam menunjukkan hampir ke pukul 1 pagi. Walaupun aku agak mengantuk daripada kebiasaan, namun aku tetap bersemangat untuk menulis ini.

Ada beberapa berita baik yang ingin aku kongsikan kepada pembaca :

Pusat Tuisyen Pulau Ilmu TIDAK jadi dijual


Ini kerana kami berjaya menyelesaikan kes pecah amanah yang telah berlaku sekian lama di sini. Tidak perlulah aku huraikan dengan lebih lanjut. Kerana apa yang penting sekarang penyelesaian kes ini menyemarakkan semangat kami untuk terus berjuang membawa nama Pulau Ilmu ke tempat yang lebih baik lagi.

Terimakasih kepada semua cikgu-cikgu yang masih bersama kami di masa sukar ini.

Sebelum ini kami beria untuk menjualnya kerana menyangkakan pendapatannya tidak memberansangkan, tapi rupanya ada udang disebalik batu. Kini aku secara peribadi berasa gembira kerana boleh meneruskannya, kerana ia berdekatan dengan rumah yang baru kami beli.

Pinjaman perumahan kami diluluskan.


Insyallah kami akan sibuk berpindah sebulan dua ini. Bulan Jun adalah bulan terakhir kami di rumah Subang Murni ini. Moga dipermudahkan.

Kami berjaya membeli rumah tersebut dengan harga rendah dari pasaran, tapi berjaya mendapat pinjaman perumahan mengikut harga pasaran. Ada sedikit kusyen tunai di situ, dimana kami bercadang untuk membaik-pulih rumah itu (yang telah berusia 20 tahun) dan menyimpan bakinya dalam tabung penampan.

Sofea akan dapat adik.


Insyallah pada bulan Oktober ini. Bukan itu saja, Sofea juga bakal mendapat sepupu baru pada bulan Ogos ini juga. Moga dipermudahkan. Amin.

Perancangan Kewangan Bebas.


Yahoo! Cita-citaku untuk menjadi 'Independent Financial Advisor' bakal tercapai apabila menyertai VKA. Aku pergi bertemu bosnya dengan tidak mandi (sama seperti berjumpa isteriku buat pertama kali dulu) dengan tiada membawa apa-apa harapan. Tapi rupanya ini adalah tempat kerja yang aku cari, setelah idolaku Yap Ming Hui mahukan aku berkerja sepenuh masa, tapi aku tidak boleh.

Dengan VKA ni, boleh bermula separuh masa dulu.

Aku juga nampak diriku menganjurkan seminar "Kaya Sejati" di Pulau Ilmu. Amin.

Sajakiri Music #RM50sebulan


Kini aku tiada lagi 'tekanan untuk berjaya' dalam bidang muzik setelah menyertai VKA. Tapi pada masa yang sama aku terus displin memperutukkan sejam setiap hari bekerja untuk membuat muzik. Demi kepuasan.

Ini memberikanku idea untuk menambah pendapatan, sambil-sambil itu kan. Lihat ini untuk lebih lanjut.

*terimakasih Hafizul kerana sudi baca.

Isnin, 27 Januari 2014

3 Sebab Utama Mengapa Saya Kembali Menjadi Agen Saham Amanah

Ya, kali ini bersama Public Mutual. Di bawah sahabat ibu saya, aunty Ann. Sebenarnya ini agensi yang ke-3. 2 agensi sebelum ini adalah CIMB Wealth Advisor (2004 dan 2008).

Bermakna saya telah gagal 2 kali sebelum ini. Tidak pernah saya terfikir yang saya akan menyertainya industri ini lagi. Tapi mengapa? Apa yang saya menyebabkan saya ingin mencuba sekali lagi? Tidak takutkah saya akan gagal lagi?

Saya juga bingung juga memikirkannya saban hari. Tapi sebentar tadi, setelah saya meluahkan kebingungan saya ini, isteri saya sendiri tanya, "kenapa, apa tujuan utama abang ingin mencubanya?"

Ini memaksa saya berfikir untuk memberi jawapan. Dan saya dapati jawapan ini 'empowering', sekurang-kurangnya bagi saya. Lalu saya mengambil keputusan untuk terus menulis blog ini sebagai peringatan kepada saya sendiri.

1 - Kerana sangat meminati bidang ini dan mahu membantu orang lain supaya lebih celik kewangan


Walaupun ini klise, tapi memang betul ini yang saya rasakan. Saya berkelayakkan ACCA (Akauntan Profesional), dan ini sangat berkaitan dengannya. Tapi saya lebih meminati bidang kewangan peribadi berbanding kewangan syarikat.

Tapi kenapa saya gagal dahulu? Saya akui saya sangat gentar apabila menjual, dan berasa tertekan untuk melakukan jualan. Apatah menerima rejeksi. Saya nampak ramai agen-agen lain yang tidaklah berpengetahuan besar dalam bidang kewangan, tapi mereka berkeyakinan tinggi untuk membuat jualan. Padahal saya hanya meminati ilmu bidang ini, tapi tidak berkeyakinan seperti mereka.

Saya harapkan kali ini saya lebih matang dan bersedia. Bukan itu saja, malah saya mewujudkan laman web Kaya Sejati ini, sebelum menyertai agensi ini lagi. Ini untuk berkongsi tentang apa saya pelajari demi mengukuhkan kewangan saya sendiri, dan secara tidak langsung timbul minat untuk membantu orang lain juga.

Bagaimana kesedaran ini timbul? Ini terjadi kerana :
a) saya dan isteri (baru) berjaya membeli rumah sendiri (alhamdulillah). Ini tidak mudah kerana saya bekerja sendiri. Ini menyebabkan saya sedar bahawa kita harus lebih bijak mengawal perbelanjaan.
b) salah seorang dalam famili saya gagal menguruskan harta bendanya dengan baik, dan hidupnya agak tidak selesa sekarang.

2 - Kerana ingin mencari pendapatan lebih untuk famili


Kini saya bekerja sebagai tutor sepenuh masa. Pendapatan saya OK, tapi mempunyai siling (apabila jadual saya penuh). Takkanlah lagi 10 tahun saya masih buat benda yang sama? Walaupun saya mempunyai pusat tuisyen sendiri, tapi selepas 2 tahun mengendalinya, saya akui untungnya tidaklah seberapa untuk saya bergantung (kecuali saya membuka cawangannya dengan banyak). Malah saya ada terfikir untuk menjualnya saja.

Saya juga sedar yang saya tidak akan mewarisi harta yang banyak dari ibubapa. Famili saya pula banyak bergantung pada saya. Ini saya baru ada anak seorang saja, berumur setahun setengah. Kalau dah besar, dan lebih ramai?

Profesi ini (agen unit amanah) lebih menjanjikan progresi untuk meningkatkan kadar pendapatan dengan drastik, asalkan kita bekerja kuat, insyallah.

3 - Demi kejayaan muzik saya


Saya masih bercita-cita besar untuk menjadi komposer ternama tanahair. Tapi saya agak 'stuck' kerana berasa segan untuk menjaja lagu saya ke sana ke mari. Oleh itu saya mengharapkan latihan jualan daripada agensi ini akan melatih saya untuk menjadi lebih tebal muka.

Ini mungkin sebab utama saya. Saya ingin orang ramai menikmati hasil seni muzik saya, disamping dapat meraih pendapatan pasif dalam bentuk royalti.