Isnin, 27 Januari 2014

3 Sebab Utama Mengapa Saya Kembali Menjadi Agen Saham Amanah

Ya, kali ini bersama Public Mutual. Di bawah sahabat ibu saya, aunty Ann. Sebenarnya ini agensi yang ke-3. 2 agensi sebelum ini adalah CIMB Wealth Advisor (2004 dan 2008).

Bermakna saya telah gagal 2 kali sebelum ini. Tidak pernah saya terfikir yang saya akan menyertainya industri ini lagi. Tapi mengapa? Apa yang saya menyebabkan saya ingin mencuba sekali lagi? Tidak takutkah saya akan gagal lagi?

Saya juga bingung juga memikirkannya saban hari. Tapi sebentar tadi, setelah saya meluahkan kebingungan saya ini, isteri saya sendiri tanya, "kenapa, apa tujuan utama abang ingin mencubanya?"

Ini memaksa saya berfikir untuk memberi jawapan. Dan saya dapati jawapan ini 'empowering', sekurang-kurangnya bagi saya. Lalu saya mengambil keputusan untuk terus menulis blog ini sebagai peringatan kepada saya sendiri.

1 - Kerana sangat meminati bidang ini dan mahu membantu orang lain supaya lebih celik kewangan


Walaupun ini klise, tapi memang betul ini yang saya rasakan. Saya berkelayakkan ACCA (Akauntan Profesional), dan ini sangat berkaitan dengannya. Tapi saya lebih meminati bidang kewangan peribadi berbanding kewangan syarikat.

Tapi kenapa saya gagal dahulu? Saya akui saya sangat gentar apabila menjual, dan berasa tertekan untuk melakukan jualan. Apatah menerima rejeksi. Saya nampak ramai agen-agen lain yang tidaklah berpengetahuan besar dalam bidang kewangan, tapi mereka berkeyakinan tinggi untuk membuat jualan. Padahal saya hanya meminati ilmu bidang ini, tapi tidak berkeyakinan seperti mereka.

Saya harapkan kali ini saya lebih matang dan bersedia. Bukan itu saja, malah saya mewujudkan laman web Kaya Sejati ini, sebelum menyertai agensi ini lagi. Ini untuk berkongsi tentang apa saya pelajari demi mengukuhkan kewangan saya sendiri, dan secara tidak langsung timbul minat untuk membantu orang lain juga.

Bagaimana kesedaran ini timbul? Ini terjadi kerana :
a) saya dan isteri (baru) berjaya membeli rumah sendiri (alhamdulillah). Ini tidak mudah kerana saya bekerja sendiri. Ini menyebabkan saya sedar bahawa kita harus lebih bijak mengawal perbelanjaan.
b) salah seorang dalam famili saya gagal menguruskan harta bendanya dengan baik, dan hidupnya agak tidak selesa sekarang.

2 - Kerana ingin mencari pendapatan lebih untuk famili


Kini saya bekerja sebagai tutor sepenuh masa. Pendapatan saya OK, tapi mempunyai siling (apabila jadual saya penuh). Takkanlah lagi 10 tahun saya masih buat benda yang sama? Walaupun saya mempunyai pusat tuisyen sendiri, tapi selepas 2 tahun mengendalinya, saya akui untungnya tidaklah seberapa untuk saya bergantung (kecuali saya membuka cawangannya dengan banyak). Malah saya ada terfikir untuk menjualnya saja.

Saya juga sedar yang saya tidak akan mewarisi harta yang banyak dari ibubapa. Famili saya pula banyak bergantung pada saya. Ini saya baru ada anak seorang saja, berumur setahun setengah. Kalau dah besar, dan lebih ramai?

Profesi ini (agen unit amanah) lebih menjanjikan progresi untuk meningkatkan kadar pendapatan dengan drastik, asalkan kita bekerja kuat, insyallah.

3 - Demi kejayaan muzik saya


Saya masih bercita-cita besar untuk menjadi komposer ternama tanahair. Tapi saya agak 'stuck' kerana berasa segan untuk menjaja lagu saya ke sana ke mari. Oleh itu saya mengharapkan latihan jualan daripada agensi ini akan melatih saya untuk menjadi lebih tebal muka.

Ini mungkin sebab utama saya. Saya ingin orang ramai menikmati hasil seni muzik saya, disamping dapat meraih pendapatan pasif dalam bentuk royalti.





Tiada ulasan: