Khamis, 13 September 2012

9 - 10 Tahun Lagi

Apa yang saya mahu capai 10 tahun lagi? Baru-baru ini saya ke Paka, Terengganu untuk melawat mak saudara dan nenek saya, dan kami ada singgah di beberapa perhentian di pantai untuk lepak.

Saya memang sukakan pantai di sebelah timur semenanjug, kerana anginnya yang kuat bertiup, rasa sungguh tenang sekali.Di samping itu, bandar di Paka juga sungguh rileks, tidak berserabut seperti di Kuala Lumpur.

Ini mengilhami saya, lalu bertanya pada isteri saya,
"nak tak pindah ke kawasan kampung sebegini?"
Saya akui, sejak kelahiran Sofea, saya semakin suka ringkas dan minimalistik. Lihat saya desain laman ini, serta sajakiri.com, hanya putih jernih sahaja.. Atau mungkin kerana selepas saya menggunakan Iphone, desainnya yang putih dan ringkas, menyahserabutkan minda saya.

Saya ingin menjadi komposer sepenuh masa, tutor separuh masa. Saya inginkan hidup yang minimal tanggungan (overhead), dan tidak berlebihan.

Saya cuma ingin berkarya muzik, mengajar matematik, dan menghabiskan masa bersama keluarga. Ini saja pun sudah cukup buat saya rasa bahagia.

Kebebasan Kewangan


Ini adalah impian saya 10 tahun lagi. Kebebasan kewangan di sini bermaksud,  pendapatan pasif melebihi perbelanjaan hidup. Bermaksud, tidak perlu bekerja sudah boleh hidup.Buat kerja pun, kerana minat dan displin yang sudah dipupuk, atas dasar ingin menyumbang kepada masyarakat.

Caranya :

  • mencari sumber pendapatan pasif sebanyak mungkin: dalam bentuk royalti, bisnes, atau rumah disewa.
  • kurangkan perbelanjaan harian. Minimalistik.
Saya ingin berpindah ke pantai, satu hari nanti. Amin.




Rabu, 12 September 2012

8 - Apa yang ingin saya pelajari daripada mentor?

Insyallah, saya akan berjumpa dengan mentor saya. Mereka mestilah seorang komposer/produser muzik yang berpengalaman. Contoh ; Aidit Alfian, Taja (MUH), Ajai, M Nasir, dan lain-lain. Soalan-soalan saya adalah;


1. Bagaimana struktur pendapatan (income structure) jika menjadi komposer/produser sepenuh masa? 


Saya tahu ada 2 pendapatan utama, sebagai produser adalah daripada produksi muzik. Sebagai komposer, daripada royalti MACP. Soalan saya lagi:
  • berapa peratuskah pembahagian kedua-dua pendapatan tersebut?
  • yang mana kita harus lebih beri perhatian?
  • bolehkah kita mencapai 'kebebasan kewangan', dimana pendapatan pasif daripada royalti, melebihi perbelanjaan harian?


2. Bagaimana mencari klien?


Apa yang saya faham, lebih banyak lagu kita meletup di pasaran, lebih ramai penyanyi akan mencari komposer berkenaan. Soalan saya;

  • bagaimana mereka bermula?
  • bagaimana komposer memikat mereka?
  • bagaimana cara komposer mempendengarkan demo?


3. Apakah displin para komposer?


Saya difahamkan oleh abang Aidit, beliau mencipta lagu antara 5 - 13 buah lagu sehari dan M Nasir akan menekan butang 'record' dan mencipta lagu dengan menyanyi dan bermain gitar selama 2 jam berterusan. Soalan saya :
  • bagaimana mereka mencari inspirasi?
  • adakah mereka rakam terus semua idea? 
  • bagaimana mereka mengenal pasti idea yang baik?


4. Bagaimana mereka menerbitkan lagu mereka sendiri.


Abang Aidit, sebagai contoh, mempunyai pasukannya sendiri ; ALfa Booty (arenjer), Nan (gitaris), Kelly (bassis), Ujang (pemain dram), dan akan merakam di Kings Studio. Soalan saya;
  • adakah mereka menyusun sendiri lagu ciptaan?
  • bagaimana mereka memilih pasukannya sendiri?
  • adakah mereka punyai studio sendiri, atau sewa studio lain?


5. Siapakah mentor mereka? Bagaimana mereka mengasah bakat dalam penciptaan lagu?



6. Ada apa-apa lagi yang patut saya tahu tentang bisnes penerbitan muzik ini?


 Contoh seperti 'tips, 'trick, atau 'backdoor infromation' yang patut saya ketahui?


Inilah saja soalan yang dirancang. Insyallah, ramai komposer di Malaysia yang akan saya temuramah. Ini untuk tujuan pembelajaran. Dan saya akan kongsikan di sajakiri.com .

Isnin, 10 September 2012

7 - Klien Seumur Hidup

Saya mencari klien untuk jangkamasa panjang, bukan untuk satu-dua projek sahaja. Saya sanggup menerima  risiko sedikit kerugian untuk jangkamasa pendek sebagai penapis, asalkan saya berjaya mencari klien yang mempunyai integriti, kredibiliti dan komitmen yang tinggi.

Hanya golongan ini yang layak bekerjasama dengan Sajakiri Music.

Bagaimana?


Katakanlah satu projek bernilai RM4,000. Saya akan memberi tawaran selama seminggu untuk difikirkan, iaitu kemudahan ansuran bulanan. Deposit RM1,000 (penapis pertama), dan bakinya dibayar  bulanan RM250 x 12 bulan.

Dan tawaran ini hanya untuk karya Sajakiri sahaja, sebagai inisitaif. Bermaksud jika klien mempunyai lagu ciptaan sendiri, kemudahan ini tidak ditawarkan.

Semestinya, saya mengharapkan klien akan mematuhi kontrak, dan membayar sepertimana yang dijanjikan. Jika berjaya, ini golongan yang cari.

Kesan jika terkandas


Tapi jjika terkandas, katakan mereka hanya membayar untuk 5 bulan sahaja, dan berhenti membayar, 5 perkara yang akan terkesan :

  1. saya menanggung kerugian untuk 7 bulan berikutnya
  2. klien tidak mendapat karma yang baik, kerana mereka menyanyikan karya saya tanpa restu
  3. segala produksi mereka, saya boleh 'pakai balik'
  4. mereka tidak akan dipercayai lagi oleh pihak kami
  5. segala bayaran mereka semestinya tidak akan dikembalikan, kerana masa studio dan pemuzik sudah dibayar.
Nauzubillah, saya secara peribadi mengharapkan perkara ini tidak akan berlaku. Kerana kedua-dua pihak dalam kerugian. Saya sekadar ingin mengimbangi risiko kerugian saya, jika ini berlaku. Segalanya boleh dirunding, jika klien mengalami kesulitan untuk membayar.

Hasilnya


Saya percaya, untuk jangkamasa panjang, saya akan dapat mencari klien yang berkualiti yang saya dambakan, kualiti seperti integiri, kredibiliti dan komitmen tinggi, insyallah. 

Ahad, 9 September 2012

6 - Pemasaran dan Jenama Sajakiri.com

Setiap Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad, saya akan memasarkan pautan dari laman sajakiri.com ke FB Page kelolaan saya, dan FB Group yang berkenaan. Tapi setelah berbuat sedemikian, saya mula tertanya-tanya kembali, adakah ia berbaloi?

Adalah sedikit sebanyak kunjungan ke laman itu. Kunjungan 70 ke atas adalah sangat baik, tapi biasanya kunjungan adalah diantara 20-30 sehari.


Tujuan


Sebelum ini, saya hanyalah ingin memperkenalkan jenama Sajakiri. Dan hasil temuramah saya bersama beberapa tokoh muzik tempatan, seperti Zulkif Headwind, dan Karl Cromok, laman Sajakiri berjaya meraih perhatian.


Jadual


Kini, tujuan saya sudah berubah ; saya ingin meraih pendapatan daripada servis produksi muzik saya.

Sebelum:

                            Selasa             Khamis             Sabtu            Ahad
Minggu 1 :           Artikel 1          Artikel 2           Artikel 1       Artikel 2.
Minggu 2 :           Arikel 3           Muzik 1            Artikel 3      Muzik 1


Kini:


                            Selasa             Khamis             Sabtu            Ahad
Minggu 1 :           Artikel 1          Muzik 1            Artikel 1       Muzik 1.
Minggu 2 :           Arikel  2           Muzik 2            Artikel 2      Muzik 2


Lihat bagaimana entri mengenai karya muzik Sajakiri telah meningkat.

Buat permulaan, saya ingin meraih sekurang-kurangnya SATU projek setiap bulan. Cara lain untuk beriklan adalah:-

  • FB Ads
  • menganjurkan Pertandingan Sajakiri - Vokal


Tawaran


Untuk menjadikan tawaran saya lebih menarik, saya menawarkan ansuran bulanan untuk klien, dan hanya memberikan mereka tempoh seminggu untuk memikirkannya, sebelum tawaran ansuran ditarik balik. Ini untuk mereka memikirkan masak-masak peluang yang diberikan ini, sambil dapat mengambil keputusan yang jitu.

Ansuran - Apa risikonya pada saya


Tujuan utama saya, adalah untuk mencari klien untuk jangkamasa panjang, bukan sekadar satu dua projek sahaja.

Contoh, jika klien membayar deposit RM1,000(tidak kembalikan), dan membayar hanya 5 ansuran sahaja (sepatutnya 12), memanglah saya akan mengalami sedikit kerugian, tapi apa yang pasti, klien jenis ini TIDAK AKAN saya bekerjasama lagi di masa depan, selagi hutang tidak dibayar sepenuhnya.






Sabtu, 8 September 2012

5 - Bagaimana Untuk Menjana RM20,000 sebulan?

Maaf, ini soalan. Bukannya panduan ya. Saya sendiri tertanya-tanya soalan yang sama. 
Bagaimana untuk menjana RM20,000 sebulan, dengan melakukan kerja yang kita cintai?
Sebagai contoh, saya ingin menjadi komposer sepenuh masa yang berpendapatan sedemikian. Buat masa sekarang, saya hanya ada impian, dan mungkin perlukan tarikh akhir (dateline) untuk jadikan ia matlamat. 

September 6 2017 

- Lagi 5 tahun, isteri saya mahu berhenti kerja, dan mahu memjaga anak-anak di rumah sepenuh masa.

Gaji kami sekarang (2012) : tidak sampai RM10,000 sebulan.

Matlamat 2017 : gaji saya seorang RM20,000 sebulan.

Bagaimana ya?

Projeksi dari bisnes muzik saya (sebulan)

  • 2012 : RM0
  • 2013 : RM4,000
  • 2014 : RM8,000
  • 2015 : RM12,000
  • 2016 : RM14,000
  • 2017 : RM20,000
Projeksi ini sungguh linear dan mudah. Saya tidak pasti adakah betul pengiraan saya ini.

Jika margin saya adalah RM2,000 setiap projek, saya perlu ada 10 projek setiap bulan, atau 120 projek setiap tahun.

Ini tidak termasuk pendapatan dari royalti MACP.


Mentor


Saya akui, saya masih lagi naif tentang ini. Saya harus berguru. Saya ada memasang niat untuk berguru dengan komposer ternama Malaysia, iaitu Aidit Alfian. 

Saya merancang untuk ke rumahnya setiap bulan, dan belajar tentang selok belok bisnes produksi muzik ini dengan beliau. Saya juga sanggup untuk melabur, membayar beliau, walaupun saya tidak pasti adakah beliau mahu menerimanya.

Sebelum itu, saya ingin berjumpa dengan komposer/produser muda, Shahir, juga anak didik Aidit. Kiranya saya ini adalah 'cucu didik' kepada Aidit Alfian lah kan.





4 - Pengaliran Tunai

Pengaliran tunai saya 'agak terganggu' sedikit kerana pembelian 2 buah pusatuisyen secara serentak, selain kos perbelanjaan meningkat sejak berkahwin ini.

Bukan itu saja, malah saya tidak lagi mengajar pada hari Sabtu dan Ahad (sepertimana bujang dahulu), kerana ingin meluangkan masa bersama keluarga. Ini kerana pada hari bekerja, saya tidak sempat bertemu isteri saya, kerana dia sudah keluar pada awal pagi, saya petang baru mula kerja, dan pabila saya pulang, dia sudah tidur.

Penyelesaian


Selepas kelahiran Sofea, saya re-prioriti kembali. Setelah berfikir beberapa hari, ini konlusi saya :

  • saya harus jual salah satu pusatuisyen, yang masih tidak ramai pelajar (cawangan Subang 2). Ini untuk 'menyihatkan' lagi pengaliran tunai saya, dan megurangkan bebanan kerja.
  • lebih fokus kepada bisnes produksi muzik. Ini untuk menjana pendapatan berlipat kali ganda, kerana sebagai produser dan komposer, margin keuntungan saya agak besar, disamping akan mendapat royalti di jangka masa panjang.

Perancangan Tunai


Saya dan isteri ada berbincang bagaimana untuk mengurangkan pengaliran tunai daripada bocor entah ke mana. Ini saranan saya :
  • 10% pertama daripada pendapatan bulanan harus disimpan dalam tabung jangka masa panjang seperti amanah saham (unit trust), atau tabung haji.
  • 10 % kedua untuk diberikan kepada golongan yang dirasakan perlu, seperti ibu-bapa, atau sedekah kepada masjid.
  • 10% ketiga untuk tujuan hiburan diri. Apa saja yang memberi kegembiraan kepada anda seperti makan di restoran mahal, beli pakaian/aksesori, atau hobi anda.
  • selebih 70% - untuk segala bil bulanan anda seperti hutang, ansuran kereta, sewa rumah dan barangan runcit.




Khamis, 9 Ogos 2012

Yang Pertama

Alhamdulillah. Raya di tahun 2012 ini sangat istimewa bagiku :

Pertama kali beraya sebagai suami.

Pertama kali beraya sebagai bapa.

Pertama kali beraya sebagai menantu.

Pertama kali beraya dengan mempunyai rumah sendiri.

Pertama kali beraya sebagai tauke pusat tuisyen.

Alhamdulillah juga. Abundance yang ku cari selama ini semakin jelas dari hari ke hari. Pertama kali aku berasa 'ada orang yang lebih penting' dari diri sendiri : anak perempuan dan isteriku.

Inspirasi dan motivasi darinya sangat besar bagiku. Aku sanggup mengorbankan egoku untuk berubah menjadi bapa/suami yang lebih baik deminya. Aku lebih berazam untuk berjaya demi keluargaku.

Inilah cara terbaik untuk membimbingnya, insyallah.

Ia harus bermula daripada diri sendiri. Daripada ibubapa itu sendiri.


Pulau Ilmu

Alhamdulillah. Pengambilahanku kepada kedua-dua cawangan hampir 100%. Pembelian saham mendapat 'diskaun ajaib' di saat-saat akhir. Punyai pasukan yang terbaik membuatkan ku yakin tentang masa depan Pulau Ilmu.

Ya, perjalanan masih jauh. Yang penting, landasan dan niat yang betul.


Sajakiri - Vokal

Aku juga semakinn aktif berkarya. Dengarkan lagu terbaruku, "Kau Tak Pernah Tahu", yang aku dedikasikan kepada kedua-dua bidadari hidupku setakat ini.


Insyallah September ini, aku akan mulakan pertandingan video "menyanyikan lagu-lagu Sajakiri" secara online, dimana pemenangnya akan memenangi 'single' lagu Sajakiri, dimana suara mereka akan dirakam dan diadun secara professional.

Tujuannya adalah untuk menerbitkan secara rasmi lagu-lagu Sajakiri, secara tidak langsung dapat mempromosikan jenama Sajakiri secara lebih meluas lagi. Serta membantu pendatang baru yang berbakat memiliki lagu sendiri.


Memori manis Ramadhan.

Pada 29 Julai lepas, seminggu selepas ramadhan, famili Ijol serta isteri Afzan dan anak-anak mereka Farish, Imran dan Matin, bersama-sama famili Jaja bersama isteri Bash dan bayi mereka, RZ, datang berbuka di rumahku.

Sempena melawat Sofea.

Kitorang berbuka secara 'nasib bekas' (pot luck) : aku sebagai hos membeli Pizza Hut dan menyediakan air, Ijol beli KFC, dan Jaja membeli murtabak dan sate.

Aku berasa sungguh bahagia kerana ini semua sahabat lama, dari zaman sekolah lagi, pergi jamming, bergaduh, berkongsi cerita dan sebagainya.

Kini kita semua sudah punyai famili dan hubungan kita masih lagi akrab seperti biasa.

Baby R-Z Emran!


Ijol tengah pujuk Imran pasal game kat Ipad

Jaja tengah berbual dengan Afzan yang tengah salin pampers Matin

Paling kanan : Bash


Hadiah dari famili Jaja

Hadiah dari famili Ijol

Jam Jaja tertinggal dalam bilik air masa amik wuduk Maghrib


Love u guys!


Infografik tentang kegiatan FB ku



Sila ke sini untuk mencubanya.

Rabu, 18 Julai 2012

Clavinova & Sofea

Alhamdulillah. Setelah hampir 4 minggu di rumah ibu mertua di Damansara Utama, akhirnya kami bertiga pulang ke rumah kami di Taman Subang Murni. Kami berasa sangat berterimakasih pada Mama (Opah kepada Sofea) kerana menjaga makan minum isteriku Ija dengan sepenuh hati , penuh kasih sayang  dan tanggungjawab sekali. Kami sayang Opahnya.

Juga secara peribadi, saya ingin mengucapkan terimakasih dan minta maaf kepada Abah (bapa mertuaku) kerana tidak tinggal lebih lama di situ. Abah menyarankan kami untuk tinggal sehingga Raya.

Apa pun, kini tinggal kami bertiga sekeluarga yang akan menguruskan famili kecil ini sendiri. Insyallah besok, 19 Julai, genap sebulan usia Sofea. Semoga sihat hendaknya. Amin.

Piano

Tidak tahu mengapa, kehendakku untuk memiliki piano elektrik begitu membuak2 sekali. Mungkin juga kurasakan sudah ada anak perempuan, jadi piano sudah jadi kepastian. Entahlah. Tapi apapun ia dimulakan oleh Aff yang juga ingin punyai piano sendiri kelak. 

Dulu masa bujang, aku selalu ke kedai piano dan bermain piano sehingga berjam2 lamanya. Gian.

Aku sangat berterimakasih kepada isteriku Ija kerana memahami naluri muzikku. Kami membeli piano elektrik 'tangan kedua' jenama Yamaha Clavinova CLP-220 di Euphony, Ikano. Dengan harga terbaik.

Kini, kau merasa sungguh seronok di rumah. Sofea dan Clavinova. Bak kata Aff juga, rumah lebih dari sekadar tempat tinggal, ia adalah institusi keluarga.

Kini aku lebih bersemangat untuk berjaya dalam bidang muzik. Kerana 'alasan'nya adalah lebih kuat sekarang. Amin.

* Mulai hari ini aku akan apdet sekali dalamasa 4 minggu (selama ini selang 2 minggu). Kerana prioriti menulis blog 'sudah jatuh'. Terimakasih kepada pembaca sekalian. 




Sofea dan Clavinova

Selasa, 3 Julai 2012

Perkenalkan....Sofea binti Zainal Zulia



 : Sofea binti Zainal Zulia : Baru berusia 2 hari!


Alhamdulillah. Isteriku Ija selamat melahirkan anak sulung kami tepat pukul 734 malam, Selasa 19 Jun 2012, di bilik besalin Maryam, Hospital Pusrawi Kota Damansara. Oleh Dr Zulkhairi.

Pada usia perkahwinan kami 8 bulan 19 hari. Bunting pelamin ni! Syukur.

Pada mulanya, kami memang berniat untuk menamakannya sebagai Irdina, sempena nama arwah pelajarku. Tapi aku menukarnya sejak beberapa jam kelahirannya kerana aku masih mempunyai bagasi emosional terhadap nama ini. Setiap kali memanggil Irdina, aku merasa sayu dan sedih kerana masih terkenangkan pelajar kesayanganku itu.

Demi memulakan permulaan baru, kami sepakat menamakannya Sofea. Ini kerana, aku adalah dari golongan 'auditory', bermakna mementingkan bunyi2an. Sebutan Sofea adalah lembut dan halus. Walau dipanggil singkat sekalipun, Sof, Fiya, Sofi, ia tetap kedengaran lembut.

Maksudnya juga baik; menawan.

Aku juga suka sesuatu yang ringkas. Namaku cukup flashy sudah. Ada juga aku terbaca ; nama anak kebih mencerminkan peribadi ibu bapa itu sendiri.

Terbukti kami adalah ringkas.

Kami masih di rumah ibubapa Ija di Damansara Utama. Insyallah kami akan balik dalam seminggu dua lagi.

Perubahan

Sejak menjadi bapa, terasa seperti masuk ke alam lain. Priroriti berubah. Dulu lebih kepada 'self-survival', tapi kini, terasakan ada orang yang lebih penting dari diri sendiri.

Juga motivasi untuk berjaya adalah lebih tinggi, kerana ia bukan untuk diri sendiri lagi, tapi untuk keluarga. Insyallah.

Terimakasih kepada sahabat yang mendoakan kami.


Trivia :
  • Nama adik ku : Nur Zetty Sofia. Jadi anak ku Sofea, makchu nya Sofia.
  • Harijadinya 19 Jun, sama dengan Pn Ida, ibu kepada  Irdina.


Isnin, 11 Jun 2012

Terimakasih Ayoh (Part 2)

Ayoh bersama Mek (nenek ku) pernah menjaga kami seadik-beradik ketika ibu bapa kami mengerjakan haji pada tahun 1995. Pada ketika ini aku di Tingkatan Empat. Ayoh lah yang mengambil dan menghantar kami ke sekolah, dan membeli makan minum kami ketika itu.

Setelah aku berkahwin pada Oktober lepas, 2 kali jugalah kami balik ke Kelantan. Beliaulah yang melayani kami ke sana ke mari. Mungkin kerjayanya sebagai pemandu teksi membuatkan beliau suka melayani tetamu berjalan. "Bosan duduk rumah" katanya.

Yang paling segar di ingatanku adalah peristiwa 2 bulan lepas;



Personalitinya

Ayoh secara peribadinya adalah seorang yang :

  • sangat tenang (epitome of coolness bak kata Aff),
  •  ringan kepala (kurang gemar memikirkan isu2 berat), 
  • gemar mencuba makanan sedap2 (selalu mengajak abahku makan tempat special), 
  • bertenaga (tidak pernah sakit teruk kecuali batu karang kira2 20 tahun lalu), 
  • fobia kepada ruang tertutup (tidak boleh naik lif dan kalau tidur, kena pegang kunci rumah),
  • gemar menghisap curut,
  • gemar muzik klasik dan hindustan,
  • gemarkan 'wrestling',
  • mahir bertukang (bak kata abahku, aku ada mewarisi sedikit kebolehan ini),
  • selalu membeli nasi berlauk untuk kami semua untuk bersarapan
dan bermacam lagi.


Malam terakhirnya

Teringat cerita Hakim, sepupuku yang berusia 15 tahun yang tinggal di kampung bersama Ayoh. Pada malam terakhir hayatnya, ayoh ada menyuruh Hakim 'bluetooth' lagu ini ke handphone nya. Setelah transfer, ayoh berkata 'sedapnya lagu ini', dan mendengarnya berulang kali di dalam tidurnya. Inilah lagu tersebut :

Alfatihah untuk Ayahanda



Terimakasih Ayoh. Alfatihah.

Ayoh kira2 sebulan yang lalu. Membawa famili HKA ke pantai Bachok.