Seperti kecantikkan, kreativiti adalah hak milik setiap insan. Semua orang dilahirkan kreatif. Bak kata pelukis terkenal Picasso "Every child is an artist.The problem is how to remain an artist once he grows up". Berkreatif tidak datang begitu saja. Ia harus dilatih.
Sekolah/Pendidikan bukanlah tempat yang terbaik untuk melatih kreativiti. Ia lebih kepada tempat pengumpulan data dan peperiksaan. Tujuan utamanya adalah untuk menyediakan anda memilih bidang pekerjaan anda kelak. Dan seni adalah bidang sampingan yang tidak seberapa penting.
Bak kata Ahmad Dhani (Dewa19); "Bangsa yang maju adalah bangsa yang mengangkat tinggi nilai seni rakyatnya". Kerana setiap karyanya dianggap pemikiran yang mewakili masyarakat secara amnya. Kerana ia datang dari 'pengguna' otak itu sendiri, bukan dari 'otak'. Dalam perkataan lain, ia datang dari kita yang sebenar, iaitu roh.
Tetapi di zaman yang mengejar kemajuan ini, terutamanya di negara-negara Asia membangun, seni dinilai sekadar hiburan ringan, justeru dilihat sebagai penghabis masa, dan dilihat tidak membawa apa-apa nilai wang ringgit. Karyawan dipandang sepi sedangkan di barat, mereka dipandang tinggi.
Teringat kata sahabatku yang belajar di luar negara; "Kalau di sini (Asia) agak malu untuk mengaku anak mereka pelakon/pelukis/pemuzik. Tapi di barat, mereka begitu bangga sekali, seperti bangganya kita di sini mengaku anak kita doktor/peguam/akauntan."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan