Rabu, 17 Oktober 2012

34 - Fokus Pada Produksi

Susulan daripada kelas rekoding digital tempohari, saya akhirnya berasa lega kerana telah berjumpa dengan arenjer yang sesuai, saudara Oja. 

Jadi, fokus saya sekarang adalah membantu klien untuk membuat produksi muzik, tidak kiralah lagu ciptaan saya, ataupun tidak. 

Semestinya, saya mesti mengira balik kadar kos berpatutan.

Tim saya;
  • Oja : arenjer
  • JD : adunan
2 orang ini penting dalam penghasilan muzik Sajakiri.

Tapi apapun, ia lari sebentar dari matlamat utama kami menjadi label rakaman. Pencarian artis baru akan dijadikan projek eksklusif dan tersembunyi. Projek produksi muzik ini akan menjadi 'lembu tunai' untuk Sajakiri Music.

Bagaimana kami mahu melakukannya?


Update Terbaru : Saya dan Oja tidak dapat mencapai kata sepakat kerana beliau hanya menerima 2 pakej; samada mixing, atau rakaman penuh. Ini tidak kena dengan cara saya, kerana saya bekerja 'bercerai-berai', saya ada arenj separuh, dan pemuzik lain akan 'memenuhkannya'. Dan akhir mixing dengan JD.

Jadi, produksi muzik tidak jadi. Habis macamana?


Entahlah, saya 'put in hold' lah dulu. Kerana, tidak saya sangka, Pertandingan Sajakiri - Vokal anjuran saya mendapat sambutan hangat. 11 video penyertaan; 7 lagu Kau Tak Pernah Tahu, 4 lagu Pelangi. Secara tidak langsung, Sajakiri Music menjadi 'label rakaman', iaitu mencari bakat baru.

Saya sebenarnya buat pertandingan ini dengan perasaan berbelah bagi, dan tidak pasti. Agaknya, mungkin inilah destinasi Sajakiri Music - menjadi label rakaman?

Isnin, 15 Oktober 2012

33 - Semakin lama, semakin jelas

Saya teringatkan Packard's Law oleh Jims Collins;

"No company can consistently grow revenues faster than its ability to get enough of the right people to implement that growth and still can become a great company. And if a company consistently grows revenues faster than its ability to get enough of the right people to implement that it will not simply stagnant, it will fall."


Ia membawa maksud mudah; 'Siapa' dalam pasukan adalah lebih penting daripada kemajuan perniagaan itu sendiri.


Kelas rekoding digital




Hari ini, 14 Okober 2012, saya menghadiri kelas rekoding rumah, anjuran pemuzik berbakat, Oja Axis. Dari pukul 3 - 7 petang, saya begitu kagum dengan kemahirannya menyusun lagu, pelbagai genre, dan juga permainan alat muziknya yang mahir.

Selesai kelas, terus saya mendapat 'sudden clarity' ; saya telah berjumpa dengan 'arenjer' yang saya cari selama ini.

Apa yang membuatkan saya terpikat dengan Oja adalah ;

  • beliau berpengalaman luas sebagai pemuzik (bermain di kelab malam), dan sebagai arenjer muzik (banyak projek besar seperti menyusun muzik minus one untuk karaoke, dan juga runut bunyi untuk tele-muvi).
  • beliau pernah menjadi artis nyanyian ketika mudanya, (sempat merakamkan 3 buah album)
  • harga arenjmen nya sangat berpatutan, dan boleh dirunding
  • yang penting, kualiti audio yang agak bagus
  • beliau mempunyai sentuhan 'sophisticated rock' tapi pada masa yang sama, punyai sentuhan 'sayu' juga
  • beliau sebaya saya, agak gang gitu.
  • beliau saya nampak seorang yang sempoi, merendah diri dan jujur.

Dengarlah demonya yang pertama saya dengar ;

Ahad, 14 Oktober 2012

32 - Bagaimana Sajakiri Music mahu menjana RM20,000 sebulan?

Sebelum itu, saya harus mendefinasikan apakah aktiviti  utama Sajakiri Music. Saya mendefinasikan Sajakiri Music sebagai label rakaman.


Apakah aktiviti label rakaman?


Aktiviti utama label rakaman adalah menandatangani artis, membiayai rakaman mereka, dan memasarkan mereka. Ini bukanlah tugas mudah. Saya sendiri pun tidak terfikir untuk pun mahu melakukan ini, sehinggalah saya bertemu Shahir.

Memilih, dan merakamkan artis baru bukanlah sukar (saya sudah lakukan bersama Muhsin). Cabaran utama adalah memasarkannya. Mencari A&R. adalah satu tugas misteri. Saya tidak tahu bagaimana untuk mencarinya.

Saya benar-benar tidak berminat dan punyai kepakaran dalam bidang pemasaran. Saya cuma berminat untuk merakamkan lagu sahaja. Dalam dunia perniagaan internet, yang saya mahukan adalah 'Affliate'.


Bagaimana untuk saya menjumpainya?


Networking. Walaupun saya seorang yang peramah, menjalin hubungan baru adalah sukar bagi saya. Saya merasakan saya seorang introvert. Mungkin ini yang membataskan perkembangan perniagaan saya. Mungkin. Atau mungkin saya perlu bersabar saja.

Kekalkan displin


Pada masa yang sama, saya harus mengekalkan displin dalam menghasilkan projek terbaru. Saya harus terus berkarya dengan menghasilkan demo-demo, walaupun saya tidak tahu hala tujuannya. Ini kerana, ia mengingatkan saya tentang prioriti saya, terus menghasilkan karya muzik. Itu tugas utama saya. 

Sekurang-kurangnya satu perkara yang sudah jelas ; Sajakiri Music adalah label rakaman.



Sabtu, 13 Oktober 2012

31 - Bagaimana Saya Boleh Bantu?

Jadi, selepas sajakiri.com kelihatan agak 'profesional', saya semacam berkeyakinan untuk lebih serius memberi khidmat profesional dalam penerbitan muzik.

Apa yang boleh saya bantu?


Sebelum itu, saya harus punyai pasukan saya sendiri:
  • Penulis : saya ingin mencari penulis jemputan yang sudi menulis di sajakiri.com. Sebagai habuannya, saya memberikan slot iklan di situ juga.
  • Penerbitan muzik : saya sudah ada jurutera muzk kegemaran saya, JD dan Rafik, yang bersedia bila-bila masa.
  • Pemuzik : Ini agak mudah dicari. Jaja adalah pemain bassnya.
  • A&R : saya masih mencari yang ini. Di mana ya?

Saya akui, saya sangat 'self-absorb' dalama karya sendiri. Lemas dalam karya sendiri. Sehingga saya menjadi tidak nampak peluang yang ada untuk membantu orang lain. Seperti arenjmen. Saya tidak mahu bermula kecil-kecilan. Tapi, bukankah kita harus fokus dengan kepakaran kita sahaja?

Tapi memikirkan Sajakiri Music adalah satu entiti perniagaan membuatkan saya terfikir tentang 'multiple stream of income', atau kepelbagaian pendapatan. Sebelum ini saya hanya mensasarkan pendapatan dari royalti, dan produksi. Kini saya terfikir untuk mengadakan 'event' seperti bengkel, seminar, perkongsian ilmu, penjualan e-book, arenjmen dan sebagainya.

Saya tidak pasti. Ini hanya idea kasar sahaja.Tapi memikirkannya kemungkinannya saja membuatkan saya teruja.


Apa yang pasaran mahukan? Wah, saya berbunyi seperti bisnesman berbanding karyawan. Ini soalan sukar. Saya seorang egoistik. Memikirkan apa orang mahu, bukanlah saya yang biasa. Mungkin kerana inilah saya 'stuck'. Mungkin cita-cita saya menjadi komposer bertaraf dunia menyebabkan saya berfikir sebegini.  Ego itu sihat, hanya jika ia dikawal. Erm.

Saya masih dalam 'fine-tuning' . Saya berhasrat Sajakiri Music mempunyai pendapatan minima RM20,000 sebulan. Dengan mempunyai kepelbagaian pendapatan, saya berasa ini sangat berkemungkinan.






Khamis, 11 Oktober 2012

30 - Sajakiri.com kini berwajah baru

Saya telah menukar lagi tema WP untuk sajakiri.com. Saya membeli tema Super-Skeleton ini dengan harga USD45 dari Themeforest, setelah membaca reviu. Super-Skeleton adalah diantara 20 tema WP terbaik 2012.

Saya sukakanya kerana ia lebih ringkas dan elegan. Masa lodingnya juga lebih pantas. Dan ia kelihatan lebih profesional bagi saya. Selari dengan impian saya untuk menjadi komposer bertaraf dunia.

Saya mengambil masa 4 hari untuk mengemaskinikannya. Saya mengambil cuti dari Cubase SX (muzik) dan blog ini. Setakat ini, saya berpuas hati.


Ke mana tujuan selepas ini?

Soalan ini masih sukar dijawap. Kadang-kadang saya fikir saya menukar tema WP ini lebih kepada kehendak kreativiti saya, bukan kerana ianya perlu. Semestinya, saya akan terus mencipta lagu, lagi dan lagi. Ini tiada masalah. Masalahnya adalah penulisan blog :

  1. Saya tidak pasti sama ada saya yang patut menulisnya, ataupun upah penulis lain?
  2. Jika saya yang menulisnya, saya akan bahagikan kepada 5 bahagian
    a) Cerita : akan hal peribadi saya
    b) Berita : apa saja berita yang relevan dengan muzik
    c) Tips : perkongsian berguna
    d) Isu : persoalanan dan kupasan
    e) Temuramah/Featured : Sajakiri Interview akan diwujudkan kembali, dan Featured adalah ruangan promosi untuk artis baru atau lama.
  3. Saya akan menulis lebih banyak ; sebelum ini hanya 200 patah perkataan, tapi kini saya mahu mencecah sehingga 350 patah perkataan.
Dilemma saya adalah melihatkan betapa banyaknya projek penulisan saya ini. Jadi saya seleraskan terbitannya hanya 2 minggu sekali. Ini kerana saya ingin lebih fokus kepada penerbitan muzik.

Tanya kembali : ke mana tujuan selepas ini?



Isnin, 8 Oktober 2012

29 - Penjenamaan Semula

Sejak ingin menjadi Komposer Bertaraf Dunia, ada beberapa perkara yang harus saya rombak, dengan kata lain menaiktaraf imej dan tujuan Sajakiri Music.

Sebenarnya saya sendiri pun tidak pasti, adakah perubahan ini perlu. Ia cuma mengubah perasaan dan mood saya sendiri, untuk merasai sedikit perasaan 'antarabangsa' itu.


Harga Servis

Buat masa sekarang, harga servis produksi muzik saya adalah sekitar RM3-4 ribu. Saya ingin naikkan ke RM7 ribu. Walaupun saya sedar klien saya masih tidak banyak.


Tema laman web

Saya ingin menukar lagi, supaya ia kelihatan ringkas, responsif dan profesional. Saya masih teragak-agak kerana tema sekarang, Fadelicious masih kelihatan cantik lagi. Saya perlukan masa untuk memikirkannya.


Tujuan

Saya sebenarnya masih memikirkan lagi halatuju Sajakiri Music. Inilah perkara pokok yang harus saya fikirkan:

  • Prioriti : Adakah Sajakiri Music ini label rakaman, ataupun sekadar komposer dan produser?
  • Blog : untuk apa dan tujuan blog sajakiri.com? adakah ia masih relevan?
  • Imej : apa yang ingin saya tonjolkan pada pengunjung web? adakah penukaran tema itu perlu?
  • Rancangan masa panjang : apa yang betul-betul ingin saya capai dalam masa 10 tahun?
  • Laman web : apakah tujuan sebenar ia ditubuhkan? Manakah lebih penting, portfolio muzik, ataupun penulisan blog?
Saya akui, masih kurang jelas. Tapi saya masih mengekalkan displin 'Cubase setiap hari'.


Tuisyen

Selari dengan perubahan ini, saya ingin menaik kadar sejam saya dari RM50 ke RM70 untuk sesi tahun depan. Saya mula terasa maha kaya (abundance) apabila saya punyai impian untuk menjadi 'World Class'.



Sabtu, 6 Oktober 2012

28 - Hidup ini Satu Perjuangan

Saya teringatkan satu petikan dalam buku The Alchemist ;

"he had to choose between thinking of himself as a poor victim of a thief, or as an adventurer in quest of his treasure".


Pada setiap masa, kita boleh memilih untuk menjadi mangsa, ataupun kapten kepada perjuangan nasib kita sendiri.

Setelah hampir 3 bulan saya fokus kepada penerbitan muzik, saya akui, saya semakin malas untuk mengemaskini blog di sajakiri.com. Apetah lagi lebih kerap menulis di sini. Malah saya ada fikirkan untuk 'lenyap'kan saja Page untuk blog itu, dan hanya fokus pada portfolio sahaja. Tapi saya ada idea yang lebih baik.

Saya tukar nama menu di situ, menjadi :

  • Utama -> Asal
  • Tentang -> Siapa
  • Majalah -> Cerita
  • Portfolio -> Karya
  • Servis -> Rancangan
  • Hubungi -> belum dapat idea lagi. Sesiapa ada cadangan?


Apa yang bezanya? Selain menukar nama menu di atas, ada 2 Page yang akan saya rombak:

  1. Cerita : sebelum ini, saya tulis tentang tips. berita dan falsafah. Kali ini saya mahu bercerita tentang 'perjuangan' saya dalam impian saya menjadi komposer bertaraf dunia. Seolah-olah saya punyai audiens sendiri, yang mana akan melihat bagaimana saya menempuh dugaan dan halangan demi mencapai matlamat.

    Jadi, apa perbezaan dengan penulisan di sini? Saya terdengar anda bertanya. 

    Ya, akarnya berasal dari sini, dan di sana adalah pokoknya. Di sini lebih personal, dan di sana lebih menjurus mengenai Sajakiri Music


  2. Rancangan : Di sini saya akan tulis garis masa (timeline), mengandungi sejarah dan matlamat kami, dalam membangunkan Sajakiri Music. Di sini, audiens boleh beri komen dan teguran, jika saya gagal mencapai matlamat dalam masa yang ditetapkan. Dan bersorak tahniah, jika saya berjaya.


Contoh : Saya menandatangani kontrak satu single dengan Muhsin pada 1 Disember 2012.

Jadi saya akan ceritakan bagaimana saya menghubungi Muhsin di Pulau Pinang, bagaimana saya berbincang dengan A&R, dan sebagainya.

Saya akui, sekarang pun saya sudah terasa 'gerun'nya. Pada masa yang sama, saya merasa teruja.



Harapan saya


Saya harapkan di sinilah saya bermula dengan serius, dan ucapan 'semoga berjaya' sangatlah saya harapkan daripada anda. Terimakasih.



Khamis, 4 Oktober 2012

27 - Bagaimana menjaga bayi membuatkan saya semakin produktif

Saya babysit anak saya, yang berusia 3 bulan, sudah hampir 2 minggu. Setiap pagi, seawal pukul 7.30, selepas ibunya keluar ke tempat kerja, dia akan bangun. Saya akan bagi susu, bermain/berbual dengannya. Pukul 9 pagi, mandikan dia. Selepas itu panaskan susu, bagi susu, tidurkan dia, layan lagi, sehinggalah pukul 12 tengahari, barulah kami bergerak ke rumah opahnya (mertua saya) di Damansara Utama.

Saya semakin sibukkan? Mesti saya tak sempat nak buat benda lain.


Salah. Saya menjadi makin produktif sebenarnya. Pencapaian saya sejak 2 minggu ini:


  • satu demo sudah siap, kini demo baru.
  • bayar gaji cikgu dan tutup akaun bulanan dengan mudah sekali.
  • kemaskini 3 blog.
  • kelas tuisyen saya paling banyak bulan ini, rekod dalam masa 6 tahun saya mengajar.


Bagaimana saya lakukan? Saya sendiri pun tidak sangka. Saya sangkakan masa saya semakin tersempit. Tapi Tuhan bagi saya kekuatan dan cara untuk menguruskannya. Ini kesannnya:

  • saya bangun awal, dan sempat solat Subuh (sebelum ini subuh gajah je). Ini permulaan yang baik, kerana saya paling produktif pada waktu pagi.
  • Jadual saya semakin tersusun, kerana isteri saya telah buat jadual ringkas untuk Sofea, secara tidak langsung, saya juga patuh pada jadual saya sendiri.
  • saya lebih gembira. ini kerana setiap pagi, Sofea akan tersenyum, selepas saya bercakap kata-kata yang manis untuknya. Secara tidak langsung, saya berasa semangat dan positif.
  • Sofea mengingatkan saya tentang impian dan fokus saya. Jadi, saya berhenti melakukan perkara yang tidak penting.
  • hidup ini menjadi lebih warna-warni. Ini bagus kerana membantu saya menjadi lebih kreatif.
  • mengajar saya erti ketabahan. bukan mudah ya menjaga bayi. Terutamanya jika dia menangis tidak berhenti, saya perlu bertenang dan memikirkan jalan penyelesaiannya.



Isnin, 1 Oktober 2012

26 - Security is an illusion

Saya ada membaca buku 'The Alchemist', karya hebat penulis terkenal antarabangsa, Paulo Coelho. Ada banyak pengajaran halus dan tersembunyi di sebalik babak. Saya mungkin akan memperuntukkan satu entri khas mengenainya. Tapi ada satu pengajaran personal untuk diri saya sendiri, terasa seolah-olah ditampar :

Security is an illusion.


Watak utama, Santiago. mempunyai impian untuk mencari harta karun di Piramid, Mesir. Beliau bergerak dari Andalusia, Sepanyol. Itulah matlamat beliau. Semestinya, beliau diuji dengan pelbagai dugaan. Tapi dugaan terbesar beliau bukan dengan kesusahan. tapi dengan kesenangan.

Dalam perjalanan, antara pencapaian beliau :
  • membantu penjual kristal di Algeria melariskan perniagannya,
  • menjadi penasihat oasis di Gurun Sahara kerana berjaya 'menjangka' ketibaan pihak musuh,
  • jatuh cinta di situ, dan sigadis menerima beliau seadaanya.
Respon beliau ? Tetapkan azam ke Piramid Mesir, impian asal beliau. 

Beliau sanggup tinggalkan keselesaan dan kesenangan yang dikecapi, dan ia bukannya satu keputusan mudah.

Dalam buku 'Good to Great' oleh Jim Collins, beliau ada mencadangkan : 

"a great company is much more likely to die of digestion from too much opportunity than starvation from too little."

Inilah sebab utama, kenapa ramai orang tidak mengejar impian mereka sejak kecil. Kerana terlalu selesa dengan karier yang lumaya, sebagai contoh. 

Ini rupa-rupanya perangkap/halangan halus kepada diri sendiri.


Impian Saya

Impian saya adalah untuk menjadi komposer bertaraf dunia. Impian ini besar. Dan saya tidak pasti adakah saya akan berjaya mengecapinya ataupun tidak. Tapi ini adalah impian dan matlamat saya. Saya akan terus mengejar horizon itu. Setiap langkah ke arahnya, adalah sangat bernilai untuk bagi saya.



Ahad, 30 September 2012

25 - Subang 2 sudah terjual

Alhamdulillah. Pusat Tuisyen Pulau Ilmu cawangan Subang 2 sudah terjual semalam. Kepada seorang operator pusat tuisyen berpengalaman dan ternama, Dr Malek dari Bangi. Harga dirahsiakan.

Kami, saya dan Zul berasa sungguh lega. Saya secara peribadi berasa sungguh gembira, kerana bebanan sudah kurang di bahu saya. Kesannya :

  • pengaliran tunai saya akan mengalir dengan baik, kerana tidak perlu membayar hutang kepada pemilik sebelumnya.
  • pengaliran tunai cawangan Subang Perdana juga akan menjadi lebih baik, kerana tidak perlu membayar 'overhead' Subang 2.
  • kami boleh fokus sepenuhnya pada 'ibu angsa' kami, iaitu cawangan Subang Perdana.
  • kami boleh fokus kepada bisnes peribadi masing-masing, saya dengan Sajakiri Music, dan Zul dengan bisnes video dan buku matematiknya.

'Simplified'

Seperti yang saya pernah tulis sebelum ini, sejak kelahiran anak sulung saya, Sofea, saya menjadi lebih fokus.. Seolah-olah baru saya sedari, saya TIDAK mempunyai passion yang kuat dalam bidang tuisyen untuk menjadi 'World Class'.

Passion saya LEBIH kuat dalam bidang muzik. Jadi saya ringkaskan hidup saya dengan melepaskan Subang 2 pergi.

Saya berasa sungguh lega, ringan, dan bersemangat.

Sekarang saya boleh fokus kepada impian besar saya ;'World Class Composer'.



Scrap Book


Selepas ini saya ingin membeli buku skrap, untuk saya penuhi gambar-gambar impian saya. Saya tidak pernah sejelas ini.

Saya akui, saya mengalami anjakan paradigma di sini. Setelah hampir 4 tahun saya menulis 'syukur' setiap hari tanpa henti, saya semakin jelas dengan apa yang saya mahukan. Alhamdulillah. Ini mungkin rezeki anak. Dan ini hanyalah permulaan.