Khamis, 13 November 2014

Pergaulan Dengan Persekitaran 1


  • Tingkatan 1C : Kelas Pandai
  • Tingkatan 2J : Kelas Corot
  • Tingkatan 3 Bersih : Kelas Corot
  • Tingkatan 4 Cekap : Kelas Corot
  • Tingkatn 5 Jaya ; Kelas Pandai
Anda boleh lihat di atas, kelas-kelas ketika saya di sekolah menengah.

Ketika di Tingkatan 1C, saya berasa 'sedikit tertekan' kerana sekelas dengan ramai pelajar pandai. Jadi selepas itu, dengan 'sengajanya' (ibubapa tidak bersetuju sebenarnya), saya memilih kelas corot kerana lebih seronok 'hidup tanpa tekanan'.

Mengapa saya tidak selesa sekelas dengan pelajar yang lebih pandai?


Selepas saya menyelidik dari mana datangnya set minda ini, kini saya mengerti ianya datang dari cara saya dibesarkan.

Saya anak nombor  2, dan kakak sulong saya, yang hanya setahun tua dari saya, dilahirkan normal, tapi 'agak lambat pentiumnya' (tapi penyabar).

Jadi saya berasa agak 'superior' berbandingnya, dan kerap membulinya. Dan ketika itu juga tahap kesihatan saya agak lemah kerana asma, jadi ibubapa saya selalu 'tidak sampai hati' memarahi saya dengan kerap.

Ini menjadikan saya lebih kerap membulinya, tanpa ada perasaan takut. Dan kelahiran 2 lagi adik perempuan 4 tahun kemudian, menjadikan saya lebih berasa 'superior' dan membuli mereka semua.

Ini membuatkan set minda saya lebih suka bergaul dengan orang yang lebih 'inferior' dan sehingga kini, jika diberi pilihan, saya akan memilih untuk berada dalam grup ini.

Ini menjelaskan mengapa saya lebih gemar berada dalam kelas corot.

Kelas Corot


Saya akui, ketika di kelas corot, saya berasa lebih seronok, bebas tekanan (tidak perlu buat kerja rumah, kerana cikgu tidak mengharapkan), dan berasa superior kerana sering memperolehi tempat pertama dalam kelas corot ini. Walaupun kedudukan dalam keseluruhan tingkatan adalah ke-200 daripada 400 pelajar.

Ketika di tingkatan 5, saya juga sengaja untuk memasuki kelas pertama (cikgu juga bersetuju kerana berpendapat saya hanya suka main-main dalam kelas corot) demi kerana peperiksaan SPM tahun itu. Seperti jangkaan saya, saya berasa tertekan, tidak selesa, kurang seronok (bayangkan dapat 70 markah juga adalah terendah dalam kelas). 

Tapi pencapaian akademik saya meningkat dengan drastik sekali ; saya menjadi pelajar terbaik dalam AddMath, memperolehi A1 untuk semua subjek elektif Sains, mendapat tempat ke-20 dalam kelas, tapi ke-25 daripada 400 pelajar!

Bayangkan daripada nombor 200 ke 25 , dengan hanya menukar kelas sahaja!

Kolej


Ketika saya di kolej KYPM Cheras, saya bergaul dengan ramai pelajar hebat (daripada Sekolah Berasrama Penuh), yang terdiri daripada 'top-scorer' SPM, yang memperolehi 6-Agreget (Straight-A). Sekali lagi saya berasa 'tidak selesa', inferior dan tercabar. Tapi alhamdulillah, saya memperolehi ACCA dalam masa 4 tahun saja, dimana hanya 10% saja yang berjaya.

Kini


Setelah saya berhenti kerja 10 tahun yang lepas dan menjadi tutor sepenuh masa, saya kembali ke zon  selesa saya, tidak lagi bergaul dengan mereka yang hebat pandai ini. Umpama saya kembali ke kelas corot, saya mungkin 'tutor yang berjaya', tapi dari segi pendapatan dan perkembangan karier, kemajuan saya statik saja.

Berbanding dengan bekas rakan sekolej saya, ada diantara mereka yang berpendapatan 6-7 angka, tinggal di banglo, mewarisi empayar perniagaan, menjadi CEO/CFO dan sebagainya. Dimana saya hanya boleh menaikkan kadar tuisyen saya dari RM40 ke RM60 saja sepanjang 8 tahun lepas.

Kesimpulan


Diberi pilihan, kita akan memilih untuk tidak berasa inferior dengan persekitaran. Tapi demi kemajuan, saya teringatkan pepatah Amerika ini :

"jika anda ingin maju, pastikan anda adalah orang yang paling TIDAK PANDAI dalam bilik".








2 ulasan:

FDanialz berkata...

Quote terakhir tu macam optimus prime yang cakap

Master Yoda berkata...

setuju bhai