Isnin, 8 Oktober 2012

29 - Penjenamaan Semula

Sejak ingin menjadi Komposer Bertaraf Dunia, ada beberapa perkara yang harus saya rombak, dengan kata lain menaiktaraf imej dan tujuan Sajakiri Music.

Sebenarnya saya sendiri pun tidak pasti, adakah perubahan ini perlu. Ia cuma mengubah perasaan dan mood saya sendiri, untuk merasai sedikit perasaan 'antarabangsa' itu.


Harga Servis

Buat masa sekarang, harga servis produksi muzik saya adalah sekitar RM3-4 ribu. Saya ingin naikkan ke RM7 ribu. Walaupun saya sedar klien saya masih tidak banyak.


Tema laman web

Saya ingin menukar lagi, supaya ia kelihatan ringkas, responsif dan profesional. Saya masih teragak-agak kerana tema sekarang, Fadelicious masih kelihatan cantik lagi. Saya perlukan masa untuk memikirkannya.


Tujuan

Saya sebenarnya masih memikirkan lagi halatuju Sajakiri Music. Inilah perkara pokok yang harus saya fikirkan:

  • Prioriti : Adakah Sajakiri Music ini label rakaman, ataupun sekadar komposer dan produser?
  • Blog : untuk apa dan tujuan blog sajakiri.com? adakah ia masih relevan?
  • Imej : apa yang ingin saya tonjolkan pada pengunjung web? adakah penukaran tema itu perlu?
  • Rancangan masa panjang : apa yang betul-betul ingin saya capai dalam masa 10 tahun?
  • Laman web : apakah tujuan sebenar ia ditubuhkan? Manakah lebih penting, portfolio muzik, ataupun penulisan blog?
Saya akui, masih kurang jelas. Tapi saya masih mengekalkan displin 'Cubase setiap hari'.


Tuisyen

Selari dengan perubahan ini, saya ingin menaik kadar sejam saya dari RM50 ke RM70 untuk sesi tahun depan. Saya mula terasa maha kaya (abundance) apabila saya punyai impian untuk menjadi 'World Class'.



Sabtu, 6 Oktober 2012

28 - Hidup ini Satu Perjuangan

Saya teringatkan satu petikan dalam buku The Alchemist ;

"he had to choose between thinking of himself as a poor victim of a thief, or as an adventurer in quest of his treasure".


Pada setiap masa, kita boleh memilih untuk menjadi mangsa, ataupun kapten kepada perjuangan nasib kita sendiri.

Setelah hampir 3 bulan saya fokus kepada penerbitan muzik, saya akui, saya semakin malas untuk mengemaskini blog di sajakiri.com. Apetah lagi lebih kerap menulis di sini. Malah saya ada fikirkan untuk 'lenyap'kan saja Page untuk blog itu, dan hanya fokus pada portfolio sahaja. Tapi saya ada idea yang lebih baik.

Saya tukar nama menu di situ, menjadi :

  • Utama -> Asal
  • Tentang -> Siapa
  • Majalah -> Cerita
  • Portfolio -> Karya
  • Servis -> Rancangan
  • Hubungi -> belum dapat idea lagi. Sesiapa ada cadangan?


Apa yang bezanya? Selain menukar nama menu di atas, ada 2 Page yang akan saya rombak:

  1. Cerita : sebelum ini, saya tulis tentang tips. berita dan falsafah. Kali ini saya mahu bercerita tentang 'perjuangan' saya dalam impian saya menjadi komposer bertaraf dunia. Seolah-olah saya punyai audiens sendiri, yang mana akan melihat bagaimana saya menempuh dugaan dan halangan demi mencapai matlamat.

    Jadi, apa perbezaan dengan penulisan di sini? Saya terdengar anda bertanya. 

    Ya, akarnya berasal dari sini, dan di sana adalah pokoknya. Di sini lebih personal, dan di sana lebih menjurus mengenai Sajakiri Music


  2. Rancangan : Di sini saya akan tulis garis masa (timeline), mengandungi sejarah dan matlamat kami, dalam membangunkan Sajakiri Music. Di sini, audiens boleh beri komen dan teguran, jika saya gagal mencapai matlamat dalam masa yang ditetapkan. Dan bersorak tahniah, jika saya berjaya.


Contoh : Saya menandatangani kontrak satu single dengan Muhsin pada 1 Disember 2012.

Jadi saya akan ceritakan bagaimana saya menghubungi Muhsin di Pulau Pinang, bagaimana saya berbincang dengan A&R, dan sebagainya.

Saya akui, sekarang pun saya sudah terasa 'gerun'nya. Pada masa yang sama, saya merasa teruja.



Harapan saya


Saya harapkan di sinilah saya bermula dengan serius, dan ucapan 'semoga berjaya' sangatlah saya harapkan daripada anda. Terimakasih.



Khamis, 4 Oktober 2012

27 - Bagaimana menjaga bayi membuatkan saya semakin produktif

Saya babysit anak saya, yang berusia 3 bulan, sudah hampir 2 minggu. Setiap pagi, seawal pukul 7.30, selepas ibunya keluar ke tempat kerja, dia akan bangun. Saya akan bagi susu, bermain/berbual dengannya. Pukul 9 pagi, mandikan dia. Selepas itu panaskan susu, bagi susu, tidurkan dia, layan lagi, sehinggalah pukul 12 tengahari, barulah kami bergerak ke rumah opahnya (mertua saya) di Damansara Utama.

Saya semakin sibukkan? Mesti saya tak sempat nak buat benda lain.


Salah. Saya menjadi makin produktif sebenarnya. Pencapaian saya sejak 2 minggu ini:


  • satu demo sudah siap, kini demo baru.
  • bayar gaji cikgu dan tutup akaun bulanan dengan mudah sekali.
  • kemaskini 3 blog.
  • kelas tuisyen saya paling banyak bulan ini, rekod dalam masa 6 tahun saya mengajar.


Bagaimana saya lakukan? Saya sendiri pun tidak sangka. Saya sangkakan masa saya semakin tersempit. Tapi Tuhan bagi saya kekuatan dan cara untuk menguruskannya. Ini kesannnya:

  • saya bangun awal, dan sempat solat Subuh (sebelum ini subuh gajah je). Ini permulaan yang baik, kerana saya paling produktif pada waktu pagi.
  • Jadual saya semakin tersusun, kerana isteri saya telah buat jadual ringkas untuk Sofea, secara tidak langsung, saya juga patuh pada jadual saya sendiri.
  • saya lebih gembira. ini kerana setiap pagi, Sofea akan tersenyum, selepas saya bercakap kata-kata yang manis untuknya. Secara tidak langsung, saya berasa semangat dan positif.
  • Sofea mengingatkan saya tentang impian dan fokus saya. Jadi, saya berhenti melakukan perkara yang tidak penting.
  • hidup ini menjadi lebih warna-warni. Ini bagus kerana membantu saya menjadi lebih kreatif.
  • mengajar saya erti ketabahan. bukan mudah ya menjaga bayi. Terutamanya jika dia menangis tidak berhenti, saya perlu bertenang dan memikirkan jalan penyelesaiannya.



Isnin, 1 Oktober 2012

26 - Security is an illusion

Saya ada membaca buku 'The Alchemist', karya hebat penulis terkenal antarabangsa, Paulo Coelho. Ada banyak pengajaran halus dan tersembunyi di sebalik babak. Saya mungkin akan memperuntukkan satu entri khas mengenainya. Tapi ada satu pengajaran personal untuk diri saya sendiri, terasa seolah-olah ditampar :

Security is an illusion.


Watak utama, Santiago. mempunyai impian untuk mencari harta karun di Piramid, Mesir. Beliau bergerak dari Andalusia, Sepanyol. Itulah matlamat beliau. Semestinya, beliau diuji dengan pelbagai dugaan. Tapi dugaan terbesar beliau bukan dengan kesusahan. tapi dengan kesenangan.

Dalam perjalanan, antara pencapaian beliau :
  • membantu penjual kristal di Algeria melariskan perniagannya,
  • menjadi penasihat oasis di Gurun Sahara kerana berjaya 'menjangka' ketibaan pihak musuh,
  • jatuh cinta di situ, dan sigadis menerima beliau seadaanya.
Respon beliau ? Tetapkan azam ke Piramid Mesir, impian asal beliau. 

Beliau sanggup tinggalkan keselesaan dan kesenangan yang dikecapi, dan ia bukannya satu keputusan mudah.

Dalam buku 'Good to Great' oleh Jim Collins, beliau ada mencadangkan : 

"a great company is much more likely to die of digestion from too much opportunity than starvation from too little."

Inilah sebab utama, kenapa ramai orang tidak mengejar impian mereka sejak kecil. Kerana terlalu selesa dengan karier yang lumaya, sebagai contoh. 

Ini rupa-rupanya perangkap/halangan halus kepada diri sendiri.


Impian Saya

Impian saya adalah untuk menjadi komposer bertaraf dunia. Impian ini besar. Dan saya tidak pasti adakah saya akan berjaya mengecapinya ataupun tidak. Tapi ini adalah impian dan matlamat saya. Saya akan terus mengejar horizon itu. Setiap langkah ke arahnya, adalah sangat bernilai untuk bagi saya.



Ahad, 30 September 2012

25 - Subang 2 sudah terjual

Alhamdulillah. Pusat Tuisyen Pulau Ilmu cawangan Subang 2 sudah terjual semalam. Kepada seorang operator pusat tuisyen berpengalaman dan ternama, Dr Malek dari Bangi. Harga dirahsiakan.

Kami, saya dan Zul berasa sungguh lega. Saya secara peribadi berasa sungguh gembira, kerana bebanan sudah kurang di bahu saya. Kesannya :

  • pengaliran tunai saya akan mengalir dengan baik, kerana tidak perlu membayar hutang kepada pemilik sebelumnya.
  • pengaliran tunai cawangan Subang Perdana juga akan menjadi lebih baik, kerana tidak perlu membayar 'overhead' Subang 2.
  • kami boleh fokus sepenuhnya pada 'ibu angsa' kami, iaitu cawangan Subang Perdana.
  • kami boleh fokus kepada bisnes peribadi masing-masing, saya dengan Sajakiri Music, dan Zul dengan bisnes video dan buku matematiknya.

'Simplified'

Seperti yang saya pernah tulis sebelum ini, sejak kelahiran anak sulung saya, Sofea, saya menjadi lebih fokus.. Seolah-olah baru saya sedari, saya TIDAK mempunyai passion yang kuat dalam bidang tuisyen untuk menjadi 'World Class'.

Passion saya LEBIH kuat dalam bidang muzik. Jadi saya ringkaskan hidup saya dengan melepaskan Subang 2 pergi.

Saya berasa sungguh lega, ringan, dan bersemangat.

Sekarang saya boleh fokus kepada impian besar saya ;'World Class Composer'.



Scrap Book


Selepas ini saya ingin membeli buku skrap, untuk saya penuhi gambar-gambar impian saya. Saya tidak pernah sejelas ini.

Saya akui, saya mengalami anjakan paradigma di sini. Setelah hampir 4 tahun saya menulis 'syukur' setiap hari tanpa henti, saya semakin jelas dengan apa yang saya mahukan. Alhamdulillah. Ini mungkin rezeki anak. Dan ini hanyalah permulaan.




Sabtu, 29 September 2012

24 - Mengapa 'World Class Composer' ?

Mengapa? Ini bukanlah kenyataan bravado atau poyo. Ini adalah niat (purpose). Ini adalah inspirasi. Lebih kepada dorongan untuk diri sendiri. Bukan untuk impress kan orang lain, atau menunjuk-nunjuk.

Ada sebab mengapa niat saya untuk menjadi 'World Class Composer':
  • saya mahu menjadi antara yang terbaik, bukan 'yang terbaik' semata-mata. Tiada unsur persaingan di sini.
  • saya semakin komited untuk belajar, dan menerima pendedahan baru.
  • jauh dalam sudut hati saya, saya tahu saya boleh, asalkan saya berdisplin setiap hari.
  • untuk mengeluarkan potensi saya sehabisnya.
  • ini adalah cabaran dari diri saya, untuk diri saya sendiri.
Ini adalah quest yang tiada berpenghujung, mungkin ke hari terakhir hidup saya.

Metafora

Umpama saya ingin ke Barat, dari Malaysia, saya harus ke India, Iran, Turki, dan seterusnya Eropah. Lagi ke Amerika, dan Hawaii, penguhujung Barat. Tapi saya tidak berhenti di situ. Oleh kerana niat saya ke Barat lagi, saya teruskan perjalanan ke Jepun, Korea, China, Rusia dan Eropah lagi.

Itulah dia, perjuangan yang tidak henti-henti.


Definasi World Class.

Definasi ini sangat subjektif. Bagi saya, Ahmad Dhani, karyanya adalah World Class. Walaupun dia hanya terkenal di Asia Tenggara. Displinnya tinggi, beliau terus berkarya, berkarya dan terus berkarya, disamping belajar, dan berevolusi lagi, sebagai komposer.

Manusia punyai 2 keinginan spritual : untuk belajar, dan kontribut. Saya akan ulas dalam entri lain.

Oleh kerana itu, saya gemar membaca 4 buku Jim Collins ini secara 'loops' dan berulang kali :

Built to Last ---> Good to Great ---> How The Mighty Fall ---> Great By Choice.


Ini untuk menyedarkan saya, untuk menjadi World Class adalah bermungkinan dan tidak mustahil.








Jumaat, 28 September 2012

23 - World Class Composer

Terbukti, sejak saya mula buka Cubase SX tanpa sebarang tujuan, sebuah lagu demo, sudah nak siap. Bagusnya!

Yang tidak disangkakan, menulis sebegini juga satu escapism halus. Tapi saya menulis pagi ini dengan Cubase SX yang terbuka di PC, mengingatkan saya untuk terus berkarya muzik, tanpa henti.

Setelah menonton video dari seorang "Inspirational Guru", Robin Sharma, ada satu perkataanya yang menangkap perhatian saya, 'World Class'.



Transformers

Sejakecilagi, ketika saya berusia 7 - 10 tahun, saya mula mencipta robot saya, hasil dari inspirasi Transformers. Saya desain robot tersebut dengan menggunakan kertas, gunting, selotep dan imaginasi yang tinggi.

Saya teringat saya ada berkata pada diri sendiri, :kenapa kena tiru balik Transformers, yang cipta tu pun orang juga. Apa bezanya?

Saya dapati lebih mudah merekacipta desain robot baru, berbanding meniru watak sedia ada.

Kerana itulah bagi saya, lebih mudah mencipta lagu, dari main lagu kaver.

Ketika itu, saya sudah berangan mahu ke Amerika untuk bekerja dengan Hasbro (pencipta mainan Transformers), untuk merekacipta robot yang baru.

Ketika itu saya sudah bercita-cita untuk menjadi 'World Class Robot Designer'.

Kini, perkataan 'World Class' itu masih tersemat di hati. Kini, saya seorang komposer, pencipta lagu, jadi cita-cita saya semakin jelas : World Class Composer.

Buat masa ini, saya sendiri tidak pasti bagaimana. Tapi saya begitu teruja dan bersemangat dengan visi ini. Saya akan terangkan dengan lebih lanjut kenapa visi ini penting untuk saya.



Rabu, 26 September 2012

22 - Prioriti Sudah Berubah

Isteri saya sudah mula bekerja, setelah bercuti melahirkan anak selama 3 bulan. Kini, dari pukul 7 pagi sehingga 12 tengahari, sayalah yang harus menjaga Sofea, yang kini mencecah 3 bulan.

Kelas tuisyen saya bermula sebelah petang.

Ini adalah cabaran baru buat kami. Isteri saya telah menugaskan saya untuk memandikan, menyusukan, dan menidurkannya. Kadang-kadang, jika perlu, bermain-main dengannya.

Secara tidak langsung, 'berlanggar' dengan aktiviti seni saya di pagi hari, seperti menulis, meditasi, merakam lagu dan membaca buku.

Jadi sekarang, saya harus mengubah prioriti saya. Saya harus betul-betul jelas dengan matlamat dan displin saya.

Kekuatan utama saya - mencipta lagu. Saya teringatkan Stephen King, penulis novel seram yang terkenal, bermula bekerja seawal pagi, pukul 7 pagi, dengan membuka lembaran kerjanya, bersiap untuk menulis, tidak kiralah ada mood atau tidak. 

Jadi, bagaimana untuk saya aplikasikan, jika sibuk dengan menjaga bayi sebgini?

BUKA CUBASE SX SETIAP PAGI


Tidak kiralah saya ada idea atau tidak, sibuk atau tidak, ada mood atau tidak, saya MESTI punyai habit dan displin ini : BUKA CUBASE SX SETIAP PAGI.

(untuk siapa yang tidak tahu, Cubase SX adalah software rakaman muzik saya)

Ia adalah untuk saya mengingati tentang apa yang harus saya lakukan setiap hari, demi mengejar cita-cita menjadi komposer terkenal.

Saya akui, saya ada melakukan 'escapism' dengan menulis blog sebegini. Menulis bukanlah kekuatan utama saya. Tapi kesan hasil dari ekspresinya tetap sama dengan membuat muzik.

Ini adalah satu 'perangkap halus'.

Saya sekarang menyedarinya, dan harus bertindak sekarang juga.







Isnin, 24 September 2012

21 - Perkara Yang Utama, Harus Diutamakan

Konsep ini diterjemahkan oleh mendiang Stephen Covey, dalam bukunya 'First Thing First'. Ini matriksnya :



Saya tidak mahu jelaskan maksudnya, kerana ia mudah difahami. Saya hanya ingin muhasabah, kepada diri saya sendiri, adakah saya utamakan perkara yang harus diutamakan?

Soalan ini memang sukar, kerana ia harus dijawab dengan jujur.

Seharusnya, aktiviti kita harus banyak dalam Quadrant 2. Baiklah, saya buka pekung di dada saya sendiri, tentang aktiviti seharian saya.
  • Jog : Q2
  • Buka FB dan 9gag : Q4
  • Rakam Lagu : Q2
  • menulis blog : Q2 atau Q3
  • jaga/mandikan/susukan anak :Q1
  • baca buku yang bermanfaat : Q2

Wau, saya harus hentikan segera aktiviti Q3 dan Q4, demi menjadi lebih efektif.


Stop Doing List


Dalam buku 'Good to Great', Jim Collins juga ada mencadangkan agar kita lakukan 'Stop Doing List'. Ini list saya:
  • hentikan buka FB dan 9gag di PC.
  • hentikan tidur lewat lebih daripada pukul 12 malam.
  • hentikan kelas mengajar setiap setiap minggu.
  • hentikan menulis blog, lebih daripada satu artikel setiap hari.
Ini contohnya.

Tujuannya agar kita lebih ruang untuk membuat perkara yang lebih penting. Aktiviti Q2.

Saya akui ini bukan mudah. Sama seperti orang yang ingin berhenti merokok. Caranya, dia haruslah gantikan dengan aktiviti lain. Dengan satu aktiviti displin yang baik.

Bagi saya, hari saya menjadi jika, saya amalkan tidur pukul 12 bangun pukul 7. Ini satu displin yang sangat berkesan pada saya jika saya amalkan selalu. Saya tiada pilihan lain selain melakukannya.

Ahad, 23 September 2012

20 - Visi Sajakiri....siri 2

Jadi, SIAPA yang saya perlukan dalam tim saya adalah A&R, dimana dia terlibat dalam promosi sepenuhnya. 

Jadi, apa visi jangka masa panjang saya?

Hmm. Apa yang saya nampak ya. Masih dalam pembinaan. Kini umpama saya sudah memahami enjin kereta berfungsi, jadi soalan ini umpama 'jadi, hendak ke mana tujuan kita ni'?

Saya masih belum pasti, tapi hati saya sudah gembira, kerana 'abundance' yang saya cari selama ini, telah nampak jalannya.

Umpama mahu ke barat, tapi apa nama lokasinya belum ditentukan secara spesifik.


Ok takpe, setakat ini, apa yang saya nampak?

  • beberapa artis di bawah naungan Sajakiri Music, ada diantara mereka adalah 'superstar'.
  • punyai studio rakaman sendiri, beserta jurutera bunyi.
  • punyai 'in-house' tim promosi sendiri.Termasuk A&R.
  • punyai editor untuk bahagian majalah online,dan para penulis untuk sajakiri.com.
  • Event Organiser, untuk menganjuran seminar untuk berkongsi ilmu, show case mahupun konsert.
Saya lebih membayangkan untuk JV, daripada in-house. Erm...tapi tengoklah dulu, masih terlalu awal untuk difikirkan.


Displin :

  • SATU lagu diterbitkan setiap bulan
  • bermentor, sekurang-kurangnya sekali sekali berjumpa dengan grup 'mastermind'.
  • membuat demo baru setiap minggu.
  • beli buku baru setiap bulan.  elajar dan terus belajar.

Matlamat harus jelas. Saya akui, matlamat saya masih belum jelas. Cuma niat saya adalah untuk memperolehi pendapatan pasif sebanyak RM20,000 sebulan, 10 tahun lagi. Amin.